Jambatan Sungai Sedim bahayakan pengguna – CAP

 

Bumbung jambatan Sungai Sedim di Lubuk Buluh yang rosak.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Pejabat Daerah Kulim mengambil tindakan segera membaiki jambatan di kawasan perkelahan Sungai Sedim yang telah rosak dan merbahaya kepada para pengguna yang berkunjung ke tempat itu.

Dalam tinjauan yang dibuat di Lubuk Buluh, CAP mendapati selain keadaan bumbung jambatan di sini yang hampir roboh, pagar besi jambatan tersebut juga telah patah dan berkarat. CAP bimbang keadaan ini boleh mengancam keselamatan pengguna jika dibiarkan berterusan.

Jambatan ini bukan saja digunakan oleh pengunjung untuk menyeberangi sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat terjunan dan kanak-kanak yang mandi manda di sungai berkenaan. Bahagian bumbung jambatan ini yang rosak akan diterbangkan angin dan pagar besi berkarat dan tajam boleh mencederakan orang ramai yang berkunjung ke sini.

Pagar jambatan besi yang membahayakan pengunjung Sungai Sedim di Lubuk Buluh.

CAP kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya.

Memandangkan kawasan perkelahan ini menjadi tumpuan ramai pengunjung terutama pada musim cuti, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memberi perhatian serius terhadap masalah ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

Bagi menjamin keselamatan pengunjung, CAP meminta supaya papan tanda amaran di letakkan di lokasi merbahaya sebelum kerja-kerja baikpulih sebarang kerosakan kemudahan awam dilakukan di kawasan ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 13 Oktober 2022