Oleh Afiqah Sumayyah
Wanita dan gadis diberikan mesej yang salah mengenai kecantikan. Kecantikan hari ini dikaitkan dengan bentuk badan, berat, ketinggian dan bahagian muka seseorang, dan bergantung sepenuhnya kepada idea pemasar mengenai maksud kecantikan. Definisi kecantikan oleh iklan dan media sosial ini telah mewujudkan harapan yang tidak sihat dalam masyarakat hari ini. Akibatnya, berbilion orang terperangkap dalam budaya kecantikan luaran ini.
Dengan kecantikan datangnya tarikan dan keinginan – itulah mesej pengiklan dan media sosial kepada kita. Dan siapa yang tidak mahu terkenal, atau menjadi idaman? Wanita di mana-mana sahaja membayar harga yang mahal untuk standard kecantikan yang tidak realistik ini: Kecantikan yang memabukkan. Ia memakan diri. Memerangkap. Merosakkan dengan kemegahan diri.
Berjuta-juta remaja di seluruh dunia kini bergelut dengan imej tubuh yang buruk. Gangguan makan dalam kalangan remaja yang semakin meningkat dan telah menjadi satu kebiasaan. Antara 2018 dan 2019, lebih 5 juta orang terjejas akibat gangguan makan – kebanyakannya disebabkan oleh rasa tidak puas hati terhadap tubuh sendiri. Ini disebabkan oleh kehadiran media sosial yang semakin meningkat, dan dengan Instagram mempromosikan idea bahawa jenis tubuh yang ideal adalah memiliki perut yang rata.
Kepalsuan gambar di media sosial juga menyebabkan orang ramai mula mempunyai imej tubuh yang negatif. Gambar Photoshop dan penggunaan penapis imej pada aplikasi mudah alih untuk menjadikan seseorang itu kelihatan sempurna mencipta dunia kecantikan palsu yang boleh membahayakan dari segi psikologi. Mengambil dan kemudiannya mengedit swafoto adalah memudaratkan kedua-dua pihak yang melihatnya dan juga orang yang mengambil gambar itu kerana ia memberikan perhatian terus kepada kelemahan dan ketidaksempurnaan mereka. Ini kemudiannya boleh menyebabkan dismorfia tubuh, harga diri yang rendah, kemurungan, dan lain-lain.
Iklan media sosial juga menyebarkan mesej kecantikan yang tidak praktikal dan tidak sesuai. Iklan penghilang kedutan membuatkan seseorang itu berfikir bahawa kedutan tidak biasa dan perlu dibuang kerana ia tidak menarik dari segi estetika. Sesetengah iklan hampir-hampir kepada penghinaan dan perkauman contohnya: iklan untuk pemutih kulit yang menggalakkan stereotaip bahawa mempunyai kulit putih secara automatik menjadikan anda lebih cantik daripada orang berkulit hitam.
Di samping media sosial, industri pemodelan juga berterusan sehingga ke hari ini untuk menetapkan standard kecantikan yang sangat tidak realistik. Para model ini cenderung mengalami kekurangan zat makanan dan kekurangan berat badan. Model ini juga pada puratanya mempunyai berat hanya 113 paun/51 kg. Ini merosakkan minda kanak-kanak kecil dan juga wanita dewasa kerana ia mengajar mereka bahawa untuk menjadi cantik anda perlu kurus. Kurang berat badan boleh menyebabkan tulang rapuh, sistem imun yang lemah, rambut gugur, kulit kering dan lain-lain. Walau bagaimanapun, perkara ini jarang diperkatakan kerana industri ini telah mempengaruhi masyarakat untuk mempunyai pemikiran bahawa semakin kurus, semakin cantik.
Mengikut piawaian industri pemodelan, wanita sekecil berukuran 6 dianggap berukuran besar. Ini menyebabkan wanita mempunyai masalah dengan isu badan; wanita “bersaiz besar” mungkin menganggap tubuhnya tidak cantik dan tidak dapat menerima “gemuk”. Percambahan pelbagai jenis pembedahan kosmetik menambahkan lagi betapa teruknya gangguan dismorfik tubuh dalam masyarakat, dan ini membawa kepada ketagihan yang selanjutnya kepada kecantikan yang tidak realistik.
Jangan terperangkap dengan keunggulan kecantikan yang palsu. Kecantikan adalah lebih daripada ciri fizikal yang sempurna. Kecantikan sebenar adalah serba boleh. Ia boleh menjadi mudah. Ia boleh menjadi “hodoh”. Ia boleh menjadi pucat dan “sedih”. Tetapi ia tetap cantik. Yakinlah dan terima diri anda seadanya kerana setiap orang mempunyai cantik dengan cara mereka sendiri.