Bagaimana Plastik Memudaratkan Kesihatan Manusia & Planet
Plastik ialah istilah umum bagi pelbagai jenis bahan sintetik atau separa sintetik yang digunakan dalam rangkaian produk yang besar dan berkembang di dalam kehidupan seharian kita, daripada botol air pakai buang dan pembungkusan kepada mainan, tekstil dan beratus-ratus barangan biasa yang lain.
Walaupun plastik wujud di mana-mana, ia adalah ancaman kepada manusia dan kesihatan serta alam sekitar. Plastik diperbuat daripada bahan kimia yang diperolehi daripada bahan api fosil, termasuk gas asli dan minyak mentah. Di seluruh dunia, lebih daripada 300 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun, dan separuh daripadanya adalah plastik sekali guna (contohnya botol air dan soda, beg barangan runcit plastik, pembungkusan produk, penyedut minuman, cawan kopi dan banyak lagi). Menghasilkan plastik ini mengeluarkan sejumlah besar gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim dan bahan kimia toksik yang mengancam kesihatan kita.
Daripada pengeluaran kepada pelupusan, plastik mendatangkan malapetaka kepada kesihatan manusia, tumbuhan dan haiwan serta menyebabkan sejumlah besar sisa dalam ekosistem kita, menyumbat tanah, udara dan laluan air kita. Pencemaran plastik khususnya menimbulkan ancaman serius kepada semua kehidupan di bumi ini kerana sifat toksik bahan kimia yang digunakan dan dicipta semasa proses pengeluaran dan sepanjang kitaran hayatnya. Penyelidikan terkini mendedahkan plastik boleh memasuki ke dalam aliran darah manusia, kekal berada di dalam tubuh kita sehingga ke hari kematian kita. (Hari Bumi, 2023)
Berikut adalah bagaimana cara plastik mendatangkan malapetaka kepada manusia dan alam sekitar.
MENCEMARKAN ALAM SEKITAR KITA. Plastik tidak terurai, tetapi ia boleh pecah, menghasilkan kepingan plastik kecil (dipanggil mikroplastik atau nanoplastik) yang kekal sebagai bahan pencemar kekal di dalam alam sekitar. Makro dan mikroplastik memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam lautan dan hidupan liar. Setiap kepingan plastik yang pernah dicipta kekal sebagai masalah pencemaran di lautan dan laluan air, di tapak pelupusan sampah, dan di seluruh alam sekitar. Plastik yang dibakar menghasilkan pencemaran udara yang sangat toksik dan sisa pepejal berbahaya yang kekal sebagai masalah pelupusan toksik.
Kira-kira 500 bilion cawan pakai buang plastik digunakan setiap tahun di seluruh dunia. Dianggarkan 1.3 bilion botol plastik digunakan setiap hari di seluruh dunia iaitu kira-kira 1 juta seminit. Kita menggunakan 5 trilion beg plastik setahun iaitu 160,000 sesaat! Dan berdasarkan angka ekstrapolasi, terdapat 437 juta hingga 8.3 bilion penyedut minuman plastik di pantai dunia.
Plastik sekali guna seperti yang dinyatakan di atas dihasilkan untuk kekal selama-lamanya, namun ia sering digunakan untuk beberapa minit sahaja, sebelum dibuang dan ini mewujudkan pencemaran jangka panjang. Contohnya, ia mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk beg plastik terurai. Secara purata, beg beli-belah plastik digunakan bagi selama 12 minit sahaja. Penggunaan 12 minit itu mengakibatkan 1,000 tahun pencemaran!
Sejak 1950, lebih 8 bilion tan plastik dihasilkan. Hanya kira-kira 30% daripada plastik ini masih digunakan iaitu 12% diinsinerasi, 9% dikitar semula, dan 79% berakhir di tapak pelupusan sampah dan alam sekitar. Dianggarkan 75 hingga 199 juta tan plastik kini berada di lautan kita.
TOKSIK & BERBAHAYA. Saintis telah menyusun senarai lebih 16,000 bahan kimia yang digunakan dalam atau dikaitkan dengan pengeluaran, penggunaan dan pelupusan plastik dan mendapati bahawa lebih daripada 4,000 bahan kimia ini diketahui berbahaya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.
Produk dan bahan plastik diperbuat daripada polimer dan bahan tambahan kimia yang tidak terikat pada plastik dan boleh melarut resap semasa digunakan dan dilupuskan. Bahan toksik atau berpotensi toksik lain juga seperti monomer, juga boleh melarut resap daripada plastik (contohnya, stirena, karsinogen yang diketahui, boleh melarut resap daripada polistirena). Kebanyakan bahan kimia ini dilepaskan pada peringkat yang berbeza dalam kitaran hayat plastik. Ini adalah benar juga bagi plastik berasaskan bio yang boleh menjadi toksik seperti yang berasaskan bahan api fosil.
Banyak bahan kimia yang dilepaskan sepanjang kitaran hayat plastik adalah berbahaya dan menunjukkan boleh mendedahkan ancaman kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Bukti menunjukkan bahawa kita sudah pun melihat masalah kesihatan dan alam sekitar yang serius daripada pendedahan bahan kimia berbahaya daripada plastik. (Endocrine Society)
BANYAK KESAN KESIHATAN. Kebanyakan keluarga bahan kimia terbesar dan paling berbahaya termasuk logam berat, bahan kalis api, ftalat, bisfenol dan sebatian berfluorinasi dikaitkan secara langsung dengan plastik.
Plastik mewakili set sebatian yang sangat pelbagai, daripada salutan dan resin yang digunakan dalam pembinaan dan industri, kepada tekstil sintetik yang membentuk pakaian kita, kepada butiran getah yang dikitar semula daripada tayar yang berakhir di padang bola sepak yang dimainkan oleh anak-anak kita. Kita menelan atau menyedut bahan ini setiap hari. Bahan kimia toksik seperti ftalat dan Bisphenol A (BPA) terdapat dalam bungkusan makanan plastik. Ini dan banyak lagi bahan kimia lain dalam plastik mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan kita.
Plastik yang mengandungi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) digunakan secara meluas dalam pembungkusan, pembinaan, lantai, pengeluaran dan pembungkusan makanan, peralatan memasak, penjagaan kesihatan, alat mainan kanak-kanak, barangan riadah, perabot, peralatan elektronik rumah, tekstil, kereta dan kosmetik. EDC yang diketahui melarut resap daripada plastik dan mengancam kesihatan termasuk BPA dan bahan kimia yang berkaitan, bahan kalis api, ftalat, bahan per- dan polyfluoroalkyl (PFAS), dioksin, penstabil UV dan logam toksik seperti plumbum dan kadmium. (Endocrine Society)
EDC ialah bahan kimia yang mengganggu sistem hormon tubuh dan boleh menyebabkan kanser, kencing manis, gangguan pembiakan, dan gangguan saraf bagi perkembangan janin dan kanak-kanak. Pendedahan EDC adalah masalah sejagat. Ujian sampel manusia secara konsisten menunjukkan hampir semua orang mempunyai EDC dalam tubuh mereka. (Endocrine Society)
MIKROPLASTIK – ANCAMAN YANG MEMBIMBANGKAN. Apabila barangan plastik rosak, ia mengeluarkan mikroplastik, iaitu serpihan kecil yang berdiameter kurang daripada 5 mm. Dan terdapat zarah yang lebih kecil dipanggil nanoplastik (kurang daripada 1 μm diameter).
Hari ini mikroplastik telah menyusup ke setiap aspek kehidupan kita iaitu daripada udara yang kita sedut hinggalah kepada makanan yang kita makan. Ia berada di dalam alam sekitar dan tubuh manusia. Terdapat mikroplastik dalam air botol, makanan laut dan habuk isi rumah. Ia juga ditemui di dalam organ manusia dan di dalam plasenta bayi yang belum lahir.
Penemuan dan statistik amat membimbangkan. Mikroplastik ditemui di dalam segala-galanya daripada garam dan madu kepada epal, timun, dan kentang. Purata liter air botol mengandungi hampir suku juta serpihan nanoplastik. Purata seseorang itu boleh memakan sehingga 5 gram plastik seminggu.
Mikroplastik mendedahkan risiko kesihatan yang berpotensi termasuk keradangan, tekanan oksidatif dan kerosakan sel. Ia juga dikaitkan dengan kerosakan hati, masalah pernafasan, dan gangguan endokrin. Dan kajian terbaharu mengaitkan ia dengan risiko serangan jantung dan strok yang lebih besar.
EKSPORT SISA PLASTIK MENIMBULKAN RISIKO KESIHATAN. Negara kaya mengeksport sampah plastik ke negara membangun dalam bentuk kitar semula. Kebanyakan plastik yang dihasilkan adalah sekali guna dan mempunyai sedikit atau tiada nilai kitar semula. Sisa plastik dari negara maju ini termasuklah bahan yang dianggap “boleh dikitar semula” telah dihantar dan dibuang di negara membangun seperti Malaysia.
Dilaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) telah memunggah ratusan juta tan sisa plastik ke negara lain, di mana kebanyakannya mungkin dibuang, dibakar atau dibuang ke dalam alam sekitar. Kebanyakan negara membangun tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk menguruskan kemasukan plastik, memaksa pekerja tempatan menimbun sampah atau membakarnya. Ini mempunyai kesan kesihatan yang besar, kerana bahan buangan selalunya mengandungi toksin yang boleh mengubah perkembangan saraf, endokrin, dan fungsi pembiakan.
Apabila bahan buangan dibakar, wasap toksik menyebabkan masalah pernafasan dan penyakit lain dalam komuniti kejiranan. Memandangkan amalan itu terletak di sekitar komuniti yang paling rentan, merekalah yang paling banyak mengalami kesukaran bernafas, asma, masalah kulit, pelbagai jenis kanser dan penyakit kronik yang lain.
PLASTIK KITAR SEMULA MENGANDUNGI BAHAN KIMIA BERBAHAYA. Plastik dibuat dengan bahan kimia toksik. Apabila plastik dikitar semula, bahan kimia ini berakhir di dalam bahan kitar semula. Plastik kitar semula juga boleh mengandungi bahan cemar kimia daripada cara penggunaan plastik asal. Contohnya, jika bekas plastik racun makhluk perosak dikitar semula, racun makhluk perosak toksik boleh berakhir di dalam bahan kitar semula. Proses kitar semula plastik juga boleh mencipta bahan toksik baharu, menambahkan lebih banyak bahan kimia kepada plastik kitar semula.
Data yang diterbitkan baru-baru ini dari 13 negara, termasuk Malaysia, mengenal pasti hampir 500 bahan kimia dalam pelet plastik kitar semula, termasuk racun makhluk perosak, bahan kimia industri, PCB dan bahan toksik lain. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) adalah antara kumpulan berkepentingan awam di 123 negara yang menyerahkan sampel plastik kitar semula bagi ujian dalam projek ujian yang diterajui oleh IPEN. Ujian itu dijalankan oleh sekumpulan saintis di Sweden, Jerman dan Denmark. Hasilnya: Sebanyak 123 bahan kimia dikesan dalam dua sampel pelet plastik (iaitu plastik kitar semula) dari Malaysia yang telah dianalisis. Pelet itu diperoleh daripada syarikat kitar semula plastik di Pulau Pinang.
Data baharu itu menambah kepada bukti yang semakin meningkat bahawa kitar semula plastik adalah vektor bagi penyebaran bahan kimia toksik dan oleh sebab itu tidak boleh dianggap sebagai alat yang berguna dalam perjuangan untuk menamatkan ancaman kesihatan dan alam sekitar daripada plastik.
Pekerja di kemudahan kitar semula plastik, pengguna yang menggunakan produk plastik kitar semula, pekerja sampah yang mengendalikan plastik kitar semula, dan komuniti yang berhampiran operasi sisa dan kitar semula semuanya berisiko daripada terdedah kepada bahan kimia toksik.
Pada masa ini, tiada keperluan antarabangsa untuk memantau bahan kimia dalam plastik kitar semula atau menjadikan kandungan bahan kimia produk dan bahan plastik tersedia dan boleh diakses secara umum. Ini bermakna penyebaran bahan kimia daripada plastik kitar semula pada masa ini tidak dapat dikesan dan tidak dapat dikawal.
MASA UNTUK HENTIKAN PENGELUARAN PLASTIK. Kitar semula bukanlah penyelesaian kepada masalah plastik toksik. Kita tidak boleh mengitar semula sebagai jalan keluar daripada krisis plastik. Seperti yang dikatakan oleh Majlis Sumber Negara AS (US NRC), kitar semula tidak menyelesaikan fakta bahawa plastik diperbuat daripada dan mengandungi bahan kimia toksik dan bahan sumber yang tidak boleh diperbaharui, serta menyebarkan mikroplastik. (https://www.nrdc.org/…/what-you-need-know-about-plastic…)
Kajian oleh IPEN dan lain-lain (https://www.greenpeace.org/usa/reports/forever-toxic/) mendapati bahawa kitar semula plastik yang mengandungi bahan kimia berbahaya mewujudkan lingkaran toksik yang memperkenalkan semula bahan kimia berbahaya ke dalam produk baharu.
Pada 2022, negara bersetuju untuk memulakan rundingan Perjanjian Plastik Global untuk mengurangkan pencemaran plastik bagi melindungi manusia dan alam sekitar. Perjanjian Plastik baharu ini akan menjadi instrumen penting untuk menangani bahan kimia toksik dalam plastik dalam pelbagai cara. Rundingan akhir bagi perjanjian yang mengikat secara sah ini dijadualkan pada November 2024 di Busan, Korea Selatan. Marilah kita berharap bahawa ini akan menjadi perjanjian yang benar-benar berorientasikan rakyat dan planet.
CAP menyokong tindakan tegas terhadap plastik untuk melindungi kesihatan manusia dan memelihara planet ini bagi generasi akan datang. Kami berharap perjanjian itu akan mengandungi peruntukan kukuh yang menggesa bagi penghapusan bahan kimia toksik sepanjang kitaran hayat penuh plastik; dan ia akan mewajibkan maklumat mengenai bahan kimia dalam plastik dan tersedia untuk umum.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar mengehadkan penggunaan plastik sebanyak yang mungkin. Dengan mengubah beberapa tabiat kita sebagai pengguna serta menyokong perubahan dasar di peringkat tempatan dan juga antarabangsa maka kita semua boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian.