Kebimbangan Terhadap Pembubaran MAVCOM

Gambar: New Straits Times

Pada 26 Jun 2024, Parlimen Malaysia meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024, yang akan membawa kepada pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). Akibatnya, semua hartanah, dana, hak dan fungsi MAVCOM akan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kecewa terhadap perkembangan ini. Seperti yang kami nyatakan pada Disember 2019, apabila rancangan untuk pembubaran dan penggabungan ini diumumkan secara rasmi, CAP menentang keras penggabungan ini.

Semasa sidang parlimen, beberapa Ahli Parlimen Pembangkang membantah pembubaran itu, mempersoalkan Menteri Pengangkutan yang tergesa-gesa mahu meluluskan rang undang-undang itu. Bantahan ini berpunca daripada kebimbangan mengenai keselamatan negara, memandangkan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat asing yang diambil alih oleh BlackRock, ditetapkan untuk memiliki 30% daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Lebih-lebih lagi, Ahli Parlimen Pembangkang menegaskan bahawa penggabungan MAVCOM dan CAAM dengan CAAM bertanggungjawab kepada Menteri Pengangkutan, ini akan menghapuskan sistem semak dan imbang yang sebelum ini digunakan apabila MAVCOM melaporkan terus kepada Parlimen.

Ini semua adalah perkara yang boleh diterima tetapi CAP amat bimbang dengan perlindungan dan hak pengguna syarikat penerbangan yang perlu bergerak ke hadapan.

Kami ingin menekankan bahawa selama ini MAVCOM mementingkan kebajikan pengguna penerbangan. Contohnya, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 dikuatkuasakan pada 1 Julai 2016 untuk menangani aduan utama daripada pengguna syarikat penerbangan, termasuk isu bagasi, penambahan automatik, kelewatan dan pembatalan penerbangan serta kenaikan harga tiket selepas pembelian. MACPC (Pindaan) 2019, yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 2019, seterusnya menangani dengan caj yang tersembunyi dan iklan yang mengelirukan.

Pada tahun-tahun yang lepas, kami melihat peningkatan dalam insiden di mana syarikat penerbangan dikatakan membatalkan penerbangan, hanya untuk meletakkan tempat duduk asal bagi dijual semula selepas penumpang dengan berat hati memilih alternatif, masa penerbangan yang kurang ideal yang dicadangkan oleh syarikat penerbangan itu. Lebih-lebih lagi, terdapat banyak contoh syarikat penerbangan yang menafikan bayaran balik tunai bagi penerbangan yang mereka batalkan, memaksa penumpang untuk menerima kredit syarikat penerbangan yang mempunyai tarikh luput. Amalan ini memberi kesan yang tidak adil kepada penumpang yang mungkin tidak dapat menggunakan kredit ini sebelum ia tamat tempoh, yang menyebabkan kerugian kepada wang hasil titik peluh mereka.

Satu lagi isu yang mendesak ialah hak pengguna syarikat penerbangan apabila penerbangan yang ditempah melalui agensi pelancongan dibatalkan. Kebimbangan ini, antara lain, sedang dikaji secara aktif oleh MAVCOM.

MAVCOM telah meneruskan kerja ini untuk menambah baik perlindungan pengguna syarikat penerbangan. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mereka telah berunding dengan CAP dan pihak berkepentingan lain mengenai cadangan pindaan lanjut kepada MACPC. Dengan pembubaran MAVCOM ini, kami mempersoalkan sama ada pindaan baharu kepada MACPC, yang boleh meningkatkan perlindungan pengguna syarikat penerbangan dengan ketara, akan dapat direalisasikan.

Menteri Pengangkutan telah menekankan bahawa pembubaran MAVCOM dan penggabungan dengan CAAM adalah perlu untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan penerbangan, terutamanya dalam pelesenan, dan untuk memperkasakan CAAM dari segi kewangan, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tidak banyak yang diperkatakan mengenai perlindungan pengguna syarikat penerbangan. Hanya CAAM yang akan mengambil alih fungsi MAVCOM yang termasuk mengendalikan aduan pengguna. CAP kekal dengan kebimbangan mengenai implikasi pembubaran MAVCOM bagi masa depan pengguna syarikat penerbangan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 10 Julai 2024