Kementerian Kesihatan (KKM) mengharamkan penjualan dan penggunaan produk coklat Slymchoco atau Slymochoco yang didapati mengandungi racun berjadual, Sibutramine, sebatian kimia yang bertindak sebagai penahan selera.
Dalam satu kenyataan, KKM mengingatkan peniaga luar talian dan dalam talian supaya menghentikan penjualan produk itu dengan segera dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.
Ia juga mengarahkan semua media pengiklanan, termasuk di platform e-dagang dan media sosial, untuk menghentikan pengiklanan produk makanan yang diharamkan itu.
“Orang ramai mestilah berhenti mengambil produk itu dengan segera dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada profesional kesihatan,” katanya sambil menggesa pengguna supaya berhati-hati dan cermat apabila membeli produk makanan yang mungkin bercampur dengan bahan terlarang.
Produk itu juga didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan Makanan 1985 kerana tidak mempunyai nama produk dalam Bahasa Melayu dan tidak memasukkan nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar atau pemilik, selain mendakwa ia adalah produk ‘premium’ dan memaparkan Pensijilan GMP dan MeSTI palsu.
Disebabkan pelanggaran itu, produk itu tidak boleh diiklankan untuk dijual atau dijual seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan 9 Peraturan Makanan 1985, katanya.
KKM menyatakan berdasarkan data daripada kajian antarabangsa yang dikenali sebagai ‘Sibutramine on Cardiovascular Outcome Study (SCOUT)’, Sibutramine didapati meningkatkan risiko kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok pada pesakit obes.
“Oleh itu, KKM telah mengklasifikasikan Sibutramine sebagai bahan terlarang,” katanya sambil menambah bahawa antara kesan sampingan yang dilaporkan ialah gangguan dalam fungsi sistem jantung, seperti menyebabkan jantung berdegup lebih laju walaupun dalam keadaan rehat.
“Terdapat juga kesan ringan seperti mulut kering, loya, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” katanya sambil menambah bahawa Sibutramine digunakan secara meluas dalam produk penurunan berat badan.
Menurut KKM, di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menyediakan atau menjual produk makanan yang mengandungi bahan beracun dan berbahaya, yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Ia berkata, di bawah program Keselamatan dan Kualiti Makanannya, KKM akan menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan tiada produk makanan yang mengandungi atau dicampur dengan bahan terlarang seperti Sildenafil, Tadalafil, Sibutramine, Dexamethasone dan Prednisolone dijual.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kebimbangan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau menghubungi kementerian melalui http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq,” tambahnya.
Sumber: Bernama (16 Mac 2024)