KENAIKAN HARGA TOMATO YANG MENGEJUTKAN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang dengan kenaikan mendadak harga tomato di pasaran Pulau Pinang baru-baru ini.

Tinjauan pasaran CAP yang dijalankan hari ini menunjukkan harga tomato keluaran tempatan telah meningkat daripada RM8.00 kepada RM12.00. Sebulan lalu ia hanya dijual pada harga RM5.50 sekilogram. Tomato adalah bahan ramuan penting dan digunakan oleh hampir setiap pengguna.

Beberapa peruncit malah mengadu pengedar dan pemborong telah memberi amaran kepada mereka bahawa harga sayur-sayuran lain mungkin akan naik tidak lama lagi.

CAP menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menjalankan siasatan segera ke atas kenaikan harga tomato yang terlalu tinggi dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengamalkan pencatutan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 13 Februari 2024