Sahabat Alam Malaysia (SAM) berasa bimbang apabila mengetahui mengenai satu lagi lubang benam yang muncul di kawasan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur hari ini. Ia sememangnya amat membimbangkan dengan keadaan keselamatan orang ramai di kawasan itu termasuk di bahagian lain di Kuala Lumpur, yang bukan sahaja terdedah kepada lubang benam dan tanah tenggelam, tetapi juga banjir kilat, tanah runtuh dan kegagalan cerun yang berpunca daripada musim semasa dengan hujan lebat dan kerap.
Agak jelas, tindakan yang lebih komprehensif diperlukan dan langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi menjaga keselamatan awam, bukan sahaja di kawasan Jalan Masjid India tetapi di semua kawasan berisiko tinggi di bandar untuk mengelakkan kemalangan pada masa depan.
Ketika kita sedang bergelut dengan masalah lubang benam atau tanah tenggelam, SAM juga amat prihatin terhadap kemungkinan banjir kilat berlaku, sama seperti bencana yang berlaku di Stesen LRT di Masjid Jamek pada 2020, yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan besar-besaran, termasuk di bahagian lain bandar raya.
Dalam kes tragedi lubang benam, kami setuju dengan gesaan oleh kumpulan lain agar Dewan Bandaraya mengeluarkan peta bawah tanah bandar raya dan mendedahkan kepada umum, langkah-langkah mitigasi dan keselamatan yang sedang diambil untuk mengelakkan lebih banyak tragedi daripada berlaku.
Kami juga meminta langkah-langkah berikut diambil demi meningkatkan keselamatan awam di kawasan awam:
- Mewujudkan Jawatankuasa Antara Agensi yang diselaraskan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya untuk menyelia, memantau dan memeriksa kawasan berisiko tinggi.
- Maklumkan kepada orang ramai mengenai langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengurangkan kesan bencana.
- Meletakkan papan tanda dan halangan yang lebih baik di tempat yang berisiko tinggi supaya orang ramai sentiasa berwaspada dan diberi amaran secukupnya.
- Menjalankan langkah-langkah tindak balas kecemasan yang dipertingkatkan terutamanya di kawasan berisiko tinggi, termasuk dalam mendidik orang ramai.
- Mengekalkan ketelusan dan komunikasi bagi semua penduduk dan orang awam di kawasan berisiko tinggi mengenai langkah keselamatan dan tindak balas insiden.
Dalam jangka sederhana dan panjang, adalah perlunya bagi rancangan penyesuaian iklim yang betul oleh Dewan Bandaraya sebagai tindak balas kepada kesan perubahan iklim dan keadaan cuaca ekstrem, yang termasuk meningkatkan daya tahan infrastruktur, mengurangkan risiko dan kerentanan kepada banjir, meningkatkan kestabilan tanah dan menjalankan pendekatan berasaskan ekosistem yang bertindak sebagai span dan meminimumkan limpahan air ke dalam longkang dan sungai.
SAM sekali lagi mengulangi gesaan agar langkah lebih komprehensif diambil yang akan membantu mencegah dan mengurangkan bencana pada masa depan.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Kenyataan Akhbar, 28 Ogos 2024