Di SJK (C) Union, Jalan Burmah, Pulau Pinang, pelajar adalah wira sebenar dalam penjimatan tenaga. Mereka bukan sahaja memotivasikan satu sama lain ke arah penjimatan tenaga, mereka juga memainkan peranan langsung dan kritikal yang menyumbang kepada matlamat kemampanan dan penjimatan kos sekolah. Pelajar di sini rajin menjejaki dan meneliti bil elektrik sekolah untuk mengetahui punca sebarang lonjakan penggunaan dan kos elektrik. Ini memastikan objektif penjimatan tenaga sekolah tercapai.
“Pelajar kami menganalisis dan menilai bil elektrik sekolah” – GURU Lee Ting Hui
Memaparkan peningkatan bil elektrik sebagai alasan untuk mengurangkan penggunaan elektrik kurang mendapat respon dalam kalangan pelajar semata-mata kerana pembayar bil ialah ibu bapa mereka. Oleh itu, ia tidak memberi kesan secara langsung kepada pelajar.
Pada peringkat awal mengajar pelajar untuk menjadi pengguna tenaga yang bijak, saya sering mempunyai pelajar yang bertanya seperti “Mengapa saya perlu berjimat menggunakan elektrik?” “Apa kaitannya dengan saya?” “Saya tidak membayar bil!”, dan lain-lain. Oleh itu, selain menunjukkan kenaikan bil elektrik, kami juga menekankan kerosakan yang berlaku kepada bumi akibat penggunaan tenaga. Pelajar sudah terbiasa dengan istilah pelepasan gas rumah hijau, jejak karbon, dan tenaga boleh diperbaharui kerana kami kerap membincangkannya dan menekankannya dalam perhimpunan kami.
Menutup suis lampu apabila tidak digunakan adalah perubahan tabiat yang mudah diterapkan dalam kalangan pelajar. Kami mengambil semua langkah untuk menanamkan tabiat ini dalam diri setiap pelajar, termasuk dengan meletakkan notis sebagai peringatan di atas suis peralatan elektrik dan menyampaikan ceramah ringkas semasa perhimpunan.
Pengawas Tenaga di sekolah kami berterusan mengingatkan pelajar untuk menutup suis lampu, penyaman udara, dan kipas apabila tidak digunakan. Dengan bantuan Pengawas Tenaga, kami memantau, menganalisis, dan menilai bil elektrik. Semua data dipaparkan di papan kenyataan dan dibincangkan semasa perhimpunan. Memaparkan graf bil elektrik bulanan membolehkan pelajar menganalisis punca kenaikan bil dan mencari cara untuk mengurangkan jumlahnya pada bulan-bulan berikutnya. Semasa waktu pembelajaran, guru berusaha lebih untuk mengaitkan penggunaan elektrik dengan peningkatan suhu dan pemanasan global.
Di sekolah kami, ia adalah usaha kolektif untuk meningkatkan lagi amalan penggunaan tenaga dengan cekap. Kami, guru-guru di SJK (C) Union, bertekad untuk meneruskan usaha ini demi kebaikan bumi kita.
“Marilah kita amalkan penggunaan tenaga yang bertanggungjawab” PELAJAR Darjah 6 Bernard Tay Lee Juan
Perubahan iklim yang teruk sedang mengancam planet kita. Oleh sebab itu, sekolah kami mengambil langkah proaktif untuk menjimatkan elektrik. Guru besar dan guru-guru kami berterusan menekankan keperluan untuk menjimatkan elektrik.
Selepas meneliti data bil elektrik, kami mula mengambil langkah untuk menjimatkan elektrik di sekolah. Ceramah, bengkel, dan perbincangan diadakan untuk memaklumkan kepada kami mengenai perkembangan terkini mengenai isu-isu berkaitan penjimatan tenaga, seperti jejak karbon, audit elektrik, dan analisis data. Saya berharap sekolah kami dapat memasang panel solar tidak lama lagi untuk mencapai kecekapan tenaga.
“Penjimatan elektrik mestilah menjadi gaya hidup bagi semua orang” PELAJAR Darjah 6 Quah Jensen
Di sekolah kami, terdapat dua Pengawas Tenaga bagi setiap kelas. Sebagai Pengawas Tenaga, saya mengingatkan rakan-rakan saya untuk memadamkan lampu, menutup suis papan pintar, dan mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Saya juga menggalakkan mereka untuk menjimatkan elektrik kerana penjimatan elektrik perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan kita semua.