
Kami merujuk kepada laporan bertajuk Semantan Estate Berjaya tangguh keputusan pertikaian Duta Enclave [Utusan Malaysia, 30/8/25]
Pertikaian di antara Kerajaan dan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. [selepas ini disebut Semantan] berkaitan pengambilan tanahnya di bawah Enakmen Pengambilan Tanah [selepas ini disebut Enakmen] untuk pembangunan Duta Enclave bermula sejak sebelum Merdeka, pada sekitar 69 tahun yang lalu.
Pada 1956, kerajaan memperoleh kira-kira 250 ekar tanah yang dimiliki oleh Semantan untuk tujuan awam melalui proses yang ditetapkan dalam Enakmen. Satu siasatan diadakan untuk menentukan jumlah pampasan. Pegawai Pemungut telah memutuskan pampasan sejumlah RM1,320,500 tetapi Semantan mahukan RM3,250,000. Mereka menerima pampasan itu dengan protes, dan tidak membantah kesahan pengambilalihan itu.Mereka hanya mempertikaikan jumlah pampasan yang diberikan. Berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Enakmen, Pegawai Pemungut mengambil-alih tanah yang diperoleh itu pada 3/12/56.
Selepas siasaatan bagi menetapkan pampasan selesai, kedua-dua pihak berunding dan bersetuju mengenai keluasan tanah yang diperoleh Kerajaan.Ia adalah berbeza daripada yang ditunjukkan dalam pelan semasa penyiasatan. Mereka juga bersetuju untuk mengabaikan ketidakaturan dalam proses pemerolehan. Berdasarkan persetujuan tersebut, pada 29/5/59, satu rujukan dibuat kepada Mahkamah Tinggi, atas permintaan Semantan, untuk memutuskan jumlah pampasan yang perlu dibayar untuk memperoleh keluasan tanah yang dipersetujui. Pihak Mahkamah menolak rujukan itu atas alasan bahawa ia tidak memenuhi syarat Enakmen dan oleh itu tidak mempunyai bidang kuasa. Semantan tidak mengambil langkah untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah itu, seperti yang dicadangkan oleh Pegawai Pemungut.
Pada 18/1/63, Raja dalam Mesyuarat (Ruler in Council) memberikan tanah yang diperoleh kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, dan hak milik yang berasingan dikeluarkan dan didaftarkan pada 20/2/63.
Selepas lebih daripada dua puluh tahun,Semantan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah yang memerlukan Pegawai Pemungut menyelesaikan proses pengambilalihan dengan mengadakan siasatan dan menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar. Permohonan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan rayuan kepada Mahkamah Agung ditolak. Ia memutuskan: “Harus ada pengakhiran kepada litigasi, dan proses Mahkamah tidak boleh dibenarkan untuk disalahgunakan. Di bawah keadaan ini, beliau (Semantan) mesti dianggap telah memilih untuk menerima status quo kerana beliau tidak menguatkuasakan haknya dengan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan ia tiada bidang kuasa. Beliau mesti menanggung akibat daripada pilihannya.”
Perkara itu sepatutnya berakhir di situ, dengan keputusan Mahkamah Agung bahawa “perlu ada penghujung kepada litigasi”, tetapi tidak.Tiga tahun selepas itu, Semantan memfailkan writ terhadap kerajaan mendakwa pencerobohan Kerajaan berterusan sejak 3/12/56 ke atas tanah yang diperoleh. Tarikh tersebut adalah tarikh Pegawai Pemungut memaklumkan kepada mereka bahawa beliau telah mengambil pemilikan tanah itu menurut kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Enakmen.
Selama lebih tiga dekad, tiada dakwaan pencerobohan oleh Semantan yang hanya menuntut pampasan yang lebih tinggi.Setelah gagal mendapatkannya, disebabkan oleh kecuaian mereka sendiri, mereka memfailkan tuntutan berasaskan pencerobohan, walaupun terdapat duluan kehakiman yang menyatakan bahawa, dalam kes-kes pengambilan tanah, tuntutan ganti rugi bagi pencerobohan tidak boleh dilayan. Pemilik tanah mesti mengikuti prosedur yang ditetapkan dalam Enakmen bagi mendapatkan pampasan.
Kerajaan memohon untuk membatalkan writ dan Hakim Yang Arif Dr. Zakaria Yatim, dengan bergantung kepada keputusan Mahkamah Agung tersebut, telah membenarkan permohonan itu. Dalam alasan bertulis keputusannya, beliau menyatakan bahawa tuntutan Semantan telah masa-dihalang (time-barred) serta dihalang oleh doktrin res judicata. Beliau juga menerangkan bahawa oleh kerana keputusan Pegawai Pemungut tentang pampasan tidak dibatalkan, pemilikan kerajaan atas tanah tersebut adalah sah. Penghakimannya telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan tanpa memberikan sebarang sebab.Adalah tanggungjawab Mahkamah Persekutuan untuk memberikan alasan yang kukuh mengapa ia memutuskan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang berdasarkan keputusan mahkamah tertinggi pada waktu itu. Kegagalan ia member alasan-alasan penghakiman merupakan satu kelalaian tugas.
Kes itu kemudiannya didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Yang Arif ZuraYahya yang memutuskan bahawa ganjaran (award) Pegawai Pemungut itu tidak sah dan, oleh itu, pemilikan kerajaan atas tanah tersebut melanggar undang-undang. Mahkamah Rayuan menyokong keputusannya dan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk merayu. Ketiga-tiga mahkamah tersebut tidak mempertimbangkan kuasa Pegawai Pemungut di bawah Enakmen untuk mengambil pemilikan tanah yang diperoleh setelah selesai penyiasatan dalam kes biasa, dan, dalam kes mendesak, bahkan sebelum penyiasatan.Mereka juga tidak rujuk kepada duluan kehakiman mengenai kes pengambilan tanah yang sedia ada, yang tanpa ragu-ragu memutuskan bahawa pemilik tanah tidak boleh menuntut ganti rugi berasaskan pencerobohan, dan mesti mengikuti prosedur yang ditentukan oleh Enakmen.
1. Ng Chee Keong dan Anor lwn Lembaga Letrik Negara dan Anor [1991] 3 CLJ (Rep) 323, dipersetujui dan diikuti oleh Mahkamah Rayuan dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Sdn. Bhd. Lwn Liew Choong Kin [2018] 6 CLJ 217.
2. Mohideen Abdul Kader, Duta Enclave Case Saga: Manifest Miscarriage of Justice[2025] 6 CLJ I]
Kes-kes yang kini ditangani oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah mengenai pelaksanaan keputusan pengisytiharan Pesuruhjaya Kehakiman Yang Arif ZuraYahya.Ia tidak mempertimbangkan isu sama ada keputusan beliau cacat kerana ia melanggar peruntukan-peruntukan dalam Enakmen dan duluan kehakiman yang disebut di atas. Kecuali ditolak, keputusan beliau, yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini, akan menyebabkan ketidakpastian dalam undang-undang. Oleh itu, Mahkamah Persekutuan, atas budi bicara sendiri, atau atas permohonan Pejabat Peguam Negara atau Majlis Peguam, harus mengkaji semula dan membatalkan keputusan yang disangkal. Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa yang termaktub dalam Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan untuk membuat sebarang perintah yang mungkin diperlukan untuk mencegah ketidakadilan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 8 September 2025

