Sempena sambutan Hari Kesedaran Jerung Sedunia pada 14 Julai 2026, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menarik perhatian terhadap nasib yang menimpa jerung dan ikan pari. Spesies-spesies ini merupakan antara hidupan laut yang tertua dan paling penting dari segi ekologi, namun kini ia berdepan dengan masa depan yang semakin tidak menentu. Di perairan Malaysia, banyak spesies terus mengalami tekanan akibat penangkapan ikan secara berlebihan, tangkapan sampingan, kemerosotan habitat, serta perdagangan haram atau tidak mampan.
Jerung dan ikan pari memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem marin yang sihat. Sebagai pemangsa, ia membantu mengawal jaringan makanan marin, sekali gus menyumbang kepada terumbu karang yang berdaya tahan, industri perikanan yang produktif, serta ekosistem pesisir pantai yang sihat demi menyokong keterjaminan makanan dan sumber mata pencarian.
Malaysia diiktiraf sebagai salah satu kawasan tumpuan biodiversiti marin dunia dan menjadi habitat bagi 69 spesies jerung mewakili 18 keluarga, serta 81 spesies ikan pari mewakili 16 keluarga, berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Pemuliharaan dan Pengurusan Jerung (NPOA-Sharks) 2024 – 2030 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOFM).
Beberapa spesies Elasmobranchii yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) (Pindaan) 2019 termasuklah whale shark, oceanic whitetip shark, smooth hammerhead, great hammerhead, winghead shark, juga reef manta ray, oceanic manta ray, dan semua spesies sawfish yang dilindungi. Spesies-spesies ini mendapat perlindungan undang-undang daripada penangkapan, pemilikan, perdagangan, pengangkutan, dan eksport tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar spesies lain masih tidak dilindungi.
Beberapa spesies jerung yang terdapat di perairan Malaysia disenaraikan sebagai Rentan (VU), Terancam (EN), atau Terancam Kritikal (CR) dalam Senarai Merah IUCN akibat penurunan populasi yang didorong terutamanya oleh tekanan aktiviti penangkapan ikan.
Salah satu cabaran terbesar ialah banyak jerung dan pari ditangkap sebelum sempat membiak. Berbeza dengan kebanyakan spesies ikan, jerung dan pari membesar dengan perlahan, lambat mencapai kematangan, dan menghasilkan bilangan anak yang agak sedikit; ini bermakna populasinya mengambil masa yang jauh lebih lama untuk pulih daripada tekanan penangkapan ikan. Malah, apabila populasinya merosot teruk, ia mungkin mengambil masa berdekad-dekad untuk kembali pulih, itu pun jika ia benar-benar dapat pulih semula.
Hasil tangkapan sampingan komersial yang tidak terkawal serta perdagangan dalam talian yang menguntungkan didorong oleh permintaan terhadap daging dan sirip telah menyebabkan penurunan populasi yang ketara.
Bukti saintifik juga menunjukkan bahawa habitat penting bagi spesies Elasmobranchii di seluruh Asia masih kurang mendapat perlindungan yang sewajarnya. Habitat-habitat ini berfungsi sebagai kawasan pembesaran, pembiakan, dan pencarian makanan yang penting bagi pemulihan populasi. Walau bagaimanapun, peningkatan suhu laut sedang merosakkan habitat pembesaran dan pencarian makanan yang kritikal ini. Oleh itu, usaha melindungi kawasan-kawasan ini harus menjadi keutamaan pemuliharaan negara. Pemuliharaan jerung dan pari bukan sekadar usaha melindungi hidupan liar.
Sempena Hari Kesedaran Jerung Sedunia ini, CAP menggesa agensi kerajaan untuk memperkukuh pengurusan perikanan berasaskan sains, meluaskan perlindungan bagi kawasan penting untuk jerung dan pari, serta mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap penangkapan ikan dan perdagangan hidupan liar secara haram.
Pelaburan yang lebih besar diperlukan dalam penyelidikan saintifik, pemantauan hasil tangkapan, dan penguatkuasaan. Habitat kritikal seperti kawasan pembesaran dan pembiakan perlu dikenal pasti dan dilindungi.
Kumpulan pemuliharaan dan penyelidik mestilah bekerjasama dengan komuniti nelayan untuk mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang bertanggungjawab bagi meminimumkan tangkapan sampingan serta menambah baik prosedur pelepasan semula jerung dan pari yang masih hidup ke laut dengan selamat.
Langkah-langkah pemuliharaan perlu dirangka melalui kerjasama dengan komuniti nelayan bagi memastikan usaha pemuliharaan dan perikanan mampan dapat berjalan seiring demi manfaat penduduk serta biodiversiti marin.
Masa depan jerung dan pari di perairan Malaysia bergantung pada keputusan yang kita ambil hari ini. Dengan menghargai dan melindungi spesies ini, kita turut memelihara lautan yang menjadi sumber kehidupan kita semua.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 14 Julai 2026


