Memahami PFAS: Kesan Terhadap Kesihatan Manusia dan Alam Sekitar

Apa itu PFAS dan di mana ia digunakan? PFAS, atau bahan per- dan polifluoroalkil, ialah kumpulan besar bahan kimia yang terdiri daripada lebih 4,700 bahan organik sintetik yang digunakan secara meluas dalam produk pengguna dan profesional. Kategori ini termasuk bahan kimia seperti asid perfluorooctanoic (PFOA) dan perfluorooctane sulfonate (PFOS), yang sebahagiannya telah digunakan secara komersial sejak tahun 1940-an.

PFAS ialah sebatian yang sangat stabil dan tidak banyak berinteraksi dengan bahan kimia lain, menjadikannya berguna untuk mencipta produk yang tahan minyak, kotoran, air, dan haba. Disebabkan sifat-sifat ini, PFAS sering dijumpai dalam pakaian kalis air, bungkusan makanan, buih pemadam api, perkakas memasak tidak melekat, dan salutan pelindung bagi permaidani dan fabrik. Walau bagaimanapun, banyak daripada kegunaan ini tidak penting dan mempunyai alternatif yang lebih selamat. Semua PFAS mengandungi ikatan kimia yang kuat antara atom karbon (C) dan fluorin (F), yang memberikannya kestabilan tinggi dan gelaran ‘Bahan Kimia Kekal’.

PFAS, ialah bahan kimia yang mempunyai ketahanan lama dalam persekitaran dan terkumpul dari semasa ke semasa. Ia dikesan di udara, tanah, air (termasuk sumber air minuman), dan habuk rumah. Kajian menunjukkan bahawa PFAS dibebaskan pada setiap peringkat kitaran hayatnya semasa pengeluaran, penggunaan, dan pelupusan. Setelah dilepaskan, ia boleh melakukan perjalanan yang jauh dan ditemui jauh dari kawasan asalnya. PFAS menjadi kebimbangan kesihatan yang ketara kerana ia sukar untuk diuraikan, kekal dalam persekitaran dan tubuh manusia untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, manusia terus-menerus terdedah kepada PFAS terutamanya melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar, habuk, persekitaran dalaman, produk penjagaan diri dan produk pengguna. Kajian biomonitoring manusia mengesan PFAS dalam susu ibu, air kencing, dan darah. Hal ini kerana, PFAS bercantum dengan protein bukannya lemak, kekal dalam tubuh badan dan berkumpul dalam darah, hati, dan buah pinggang.

PFAS terbukti berkait dengan pelbagai kesan kesihatan negatif, termasuk kesan terhadap kesuburan, perkembangan janin, dan fungsi hormon tiroid. Fungsi hormon tiroid yang normal adalah penting dalam beberapa peringkat kehidupan. Contohnya, ia merupakan faktor penting untuk perkembangan otak janin dan neonatal semasa kehamilan, serta faktor kritikal dalam pengurusan simptom menopaus.

Di Malaysia, pencemaran PFAS semakin membimbangkan terutamanya di perairan pantai. Kajian pada 2011 mendapati paras PFAS yang tinggi berhampiran tambak yang menghubungkan Singapura dan Semenanjung Malaysia merentasi Selat Johor, iaitu tempat loji rawatan air sisa industri membuang sisa buangannya. Pada 2017, kajian lain mencadangkan bahawa Malaysia mungkin menjadi sumber pencemaran PFAS di Laut China Selatan.

Selain itu, satu kajian baharu dijalankan untuk menyiasat kepekatan PFAS dalam makanan rakyat Malaysia. Kira-kira 18 bahan kimia pengganggu Endokrin (EDC), termasuk PFAS, bisphenol, dan paraben, diekstrak daripada 9 jenis sampel makanan yang berbeza untuk menentukan kepekatannya, yang kemudiannya digunakan untuk menilai risiko kesihatan. Spektrometer Jisim Kromatografi Cecair (LC-MS/MS) digunakan untuk menganalisis 18 EDC daripada kategori makanan yang berbeza.  Kategori makanan itu ialah makanan dalam tin, minuman dalam tin, produk tenusu, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, makanan laut, telur komersial dan telur konvensional. Kesemua sampel itu berasal dari Malaysia, dikumpulkan secara rawak dari beberapa kedai runcit dan pasar raya di kawasan Selangor antara bulan Ogos dan Oktober 2021.

Keputusan daripada analisis sampel mendedahkan bahawa telur ayam kampung mempunyai purata kepekatan tertinggi bagi jumlah PFAS (7.19 ng/g), diikuti oleh makanan dalam tin (5.18 ng/g), ikan (1.87 ng/g), buah-buahan (0.75) ng/g), makanan laut (0.73 ng/g), dan produk tenusu (0.62 ng/g), manakala PFAS tidak dikesan dalam minuman dalam tin, sayur-sayuran, serta sampel telur komersial. Hampir setiap sampel makanan dalam tin mengandungi PFAS, dengan kepekatan 4-20 kali lebih tinggi daripada sampel makanan lain. Keputusan ini menekankan keperluan untuk penyiasatan lanjut mengenai sumber pencemaran PFAS dalam makanan dan potensi risiko kesihatan kepada pengguna. Kajian itu juga memerlukan peraturan dan pemantauan yang lebih ketat untuk mengehadkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya ini dalam bekalan makanan rakyat Malaysia.

Penemuan kajian IPEN mengenai PFAS dalam pakaian

Penggunaan sebatian organik berfluorin (PFAS) adalah meluas dalam perindustrian dan domestik, termasuk tekstil. Malah, penggunaan PFAS dalam sektor tekstil menyumbang kira-kira 50% daripada jumlah penggunaan global. Pengeluar tekstil menggunakan sifat kalis minyak dan air PFAS untuk menghasilkan bahan kalis kekotoran dan hujan. Menurut kajian, lebih 8,000 bahan kimia sintetik digunakan untuk menghasilkan pakaian, kebanyakannya diklasifikasikan oleh WHO sebagai sederhana hingga sangat berbahaya dan dikaitkan dengan barah, kecacatan kelahiran dan masalah reproduktif. Antaranya ialah bahan kimia perfluorinasi (PFC), bahan yang sama digunakan dalam produk masakan Teflon, yang memberikan kualiti fabrik tanpa seterika.

Rangkaian Penghapusan Pencemaran Antarabangsa (IPEN), dengan Arnika yang merupakan pertubuhan tidak mengambil untung Czech menyatukan orang ramai yang berusaha untuk mendapatkan persekitaran yang lebih baik, beserta penyumbang lain bekerjasama dalam satu kajian menentukan toksin yang terdapat dalam pakaian. Dalam kajian ini, jaket dan pakaian lain yang dijual sebagai kalis air atau kalis kotoran dibeli dari 13 negara di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Utara. Enam belas barangan pakaian diuji, termasuk apron, kemeja-T, baju renang, baju hujan, tudung dan seluar. Ujian menunjukkan bahawa 11 daripada 16 sampel (68.8%) mengandungi PFAS atau mempunyai paras Fluorin Organik Boleh Diekstrak (EOF) yang menunjukkan kehadiran PFAS.

Jelas sekali, pelbagai jenis PFAS sering digunakan dalam tekstil seperti yang ditunjukkan oleh kajian yang mengenal pasti beberapa PFAS dalam produk tekstil. Ini termasuklah alkohol fluorotelomer (FTOHs), akrilat fluorotelomer (met) (FTACs/FMACs), asid karboksilik perfluoroalkil (PFCAs), asid karboksilik fluorotelomer (FTCAs), asid sulfonik perfluoroalkane (PFSAs), asid sulfonik fluorotelomer (FTSAs) dan PFSA derivatif. (contohnya, sulfonamide, sulfonamideoethanol). Penggunaan PFAS dalam tekstil dan pakaian luar meningkatkan kedua-dua pencemaran alam sekitar dan pendedahan terhadap manusia, kerana PFAS dibebaskan ke alam sekitar pada setiap peringkat kitaran hayat produk tekstil iaitu, semasa pengeluaran, penggunaan dan pelupusan akhir.

Haramkan bahan kimia PFAS sebagai satu kelas

Memandangkan PFAS dikaitkan dengan pelbagai kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan, penggunaannya yang meluas menimbulkan cabaran berhubung dengan ekonomi kitaran. Apabila produk yang dirawat PFAS dikitar semula, PFAS boleh merebak secara tidak terkawal dan mencemarkan produk baharu, memanjangkan legasi toksik bahan kimia ini dan menjejaskan keupayaan untuk beralih kepada ekonomi kitaran yang bersih.

Kita perlu menghentikan pencemaran PFAS global dan mengelakkan bencana hak asasi manusia global. Untuk menjaga kesihatan pekerja, wanita dan kanak-kanak, CAP bersama kumpulan berkepentingan awam yang lain mencadangkan agar negara menangani bahan kimia PFAS sebagai satu kelas dan mengharamkannya sama sekali. Ini akan mengurangkan prospek menggantikan satu jenis toksik PFAS dengan yang lain.

Rujukan:

Haron, D. E. M., Yoneda, M., Ahmad, E. D., & Aziz, M. Y. (2023). PFAS, bisphenol, and paraben in Malaysian food and estimated dietary intake. Food Additives and Contaminants Part B, 16(2), 161–175.
https://doi.org/10.1080/19393210.2023.2188611

Malaysia PFAS situation report | Consumers’ Association of Penang. (2019, March). IPEN.
https://ipen.org/sites/default/files/documents/malaysia_pfas_country_situation_report_mar_2019.pdf

PFOA, PFOS, and related Pfas Chemicals. (n.d.). American Cancer Society.
https://www.cancer.org/cancer/risk-prevention/chemicals/teflon-and-perfluorooctanoic-acid-pfoa.html

Straková , J., Grechko, V., Brosché , S., Karlsson, T., &  Buonsante, V. (2022). PFAS in Clothing: Study in Indonesia, China, and Russia Shows Barriers for Non-toxic Circular Economy. IPEN (International Pollutants Elimination Network).
https://ipen.org/sites/default/files/documents/ipen-pfas-2021-v1_6w.pdf

Straková, J., Brosché, S., Brabcová, K. (2023, November). Toxics in our Clothing: Forever Chemicals in Jackets and Clothing from 13 Countries. IPEN.
https://ipen.org/sites/default/files/documents/clothing-chemicals-v12.pdf

Straková, J., Brosché, S., Grechko, V. (2023, December). Forever Chemicals in Single-use Food Packaging and Tableware from 17 Countries. IPEN. 57p.
https://ipen.org/sites/default/files/documents/ipen-packaging-report-fin-opr-25012024.pdf

The global PFAS problem: Fluorine-free alternatives as solutions. (2019). IPEN.
https://ipen.org/sites/default/files/documents/global_pfas_exec-sum_en.pdf