Menjadi tanggungjawab semua orang untuk memastikan Malaysia tidak dilanda banjir

Dunia kini berada di dalam penderitaan alam sekitar. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia supaya peka dengan situasi serius yang sedang kita hadapi dan mengambil langkah untuk memperlahankan kesan pemanasan global.

Sejak beberapa tahun lalu Malaysia mengalami turun naik cuaca yang melampau yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda akibat banjir dan tanah runtuh yang teruk, dan juga mengganggu pengeluaran makanan. Rakyat Malaysia tidak mempunyai alternatif selain menyertai komuniti global dalam mengurangkan kesan pemanasan global yang disebabkan oleh gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana yang memerangkap haba yang terpancar dari permukaan Bumi ke angkasa.

Rakyat Malaysia tidak seharusnya leka, memikirkan bahawa kenaikan paras laut yang disebabkan oleh pencairan glasier dan litupan ais hanya akan menjejaskan negara tertentu sahaja. Ia mempunyai kesan global seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan paras laut di kebanyakan bahagian di dunia ini. Mengelakkan kawasan pantai daripada tenggelam oleh laut dengan kesan bencana memerlukan usaha global.

Pengurangan besar dalam pelepasan adalah pendekatan yang betul untuk mengurangkan dan menangguhkan pemanasan global yang diramalkan oleh saintis akan membanjiri kawasan rendah, termasuk Malaysia. Bagi mereka yang ragu-ragu terhadap kesan pemanasan global, contoh terbaik ialah Kiribati, sebuah negara di tengah Pasifik, yang dua pulaunya Abanuea dan Tebua Tarawa tenggelam sepenuhnya pada 1999.

Bagi menangani masalah iklim ini memerlukan perubahan dalam gaya hidup. Kita perlu mengurangkan penggunaan, terutamanya pengambilan daging, menggunakan pengangkutan awam, dan mencegah pembaziran.

Pengangkutan, sebahagian besarnya berasaskan kereta dan motosikal persendirian, ia menyumbang kepada 28 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau dan industri ternakan menyumbang 19 peratus. Kita mestilah beralih kepada menggunakan pengangkutan awam dan makan lebih banyak makanan vegetarian.

Penggunaan tenaga kita mesti beralih daripada minyak dan gas kepada tenaga bersih. Memilih sumber tenaga lestari yang bersih seperti hidrogen, tenaga solar, kuasa angin, kuasa hidro dan kuasa gelombang adalah cara ke hadapan. Malaysia, dalam beralih kepada tenaga lestari yang bersih, menggunakan gas asli yang kurang mencemarkan untuk menghasilkan tenaga elektrik sambil melihat lebih banyak pilihan yang lebih bersih.

Kerajaan perlu meningkatkan penambahbaikan sistem pengangkutan awam dan menghalang pemilikan kereta seperti apa yang dilakukan Singapura. Baru-baru ini dilaporkan jumlah kenderaan berdaftar mencecah 36.3 juta unit setakat Oktober 2023. Hampir 24 juta daripadanya aktif dengan lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan yang sah. Bayangkan jumlah karbon dioksida dan bahan pencemar lain yang dimuntahkan oleh kenderaan ini apabila ia digunakan.

Sementara itu, pengguna boleh mempertimbangkan untuk memasang panel solar pada bumbung mereka, mematikan peralatan elektrik apabila meninggalkan bilik, membeli peralatan elektrik yang cekap tenaga (contohnya lampu LED, penyaman udara, memasang lampu dengan pengesan gerakan yang akan padam apabila tiada sesiapa di dalam bilik), dan banyak lagi cara lain yang boleh didapati di laman sesawang Tenaga National Berhad (TNB) https://www.tnb.com.my/residential/energy-savings-at-home.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa generasi rakyat Malaysia kini untuk membantu dalam usaha global untuk cuba menghentikan kesan negatif pemanasan global dengan mengurangkan penggunaan elektrik seberapa yang boleh agar generasi akan datang dapat terus menikmati apa yang Bumi tawarkan. Ini adalah usaha paling kecil tetapi penting yang boleh dilakukan oleh setiap rakyat Malaysia untuk menjadikan dunia ini mampan bagi generasi akan datang.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 14 Disember 2023