Orang Utan Guna Tumbuhan Ubatan untuk Merawat Luka

Gabungan gambar yang disediakan oleh Yayasan Suaq ini menunjukkan luka di muka Rakus, seekor orang utan Sumatera jantan di Taman Negara Gunung Leuser, Indonesia, pada 23 Jun 2022. (Gambar: AP melalui TIME)

Seekor orang utan kelihatan merawat luka dengan ubat daripada tumbuhan tropika dan contoh terbaharu ialah bagaimana sesetengah haiwan cuba meredakan penyakitnya sendiri dengan ubat yang ditemui di dalam hutan, demikian menurut saintis.

Saintis memerhatikan Rakus yang memetik dan mengunyah daun tumbuhan ubatan yang digunakan oleh orang ramai di seluruh Asia Tenggara untuk merawat kesakitan dan keradangan. Orang utan jantan dewasa itu kemudian menggunakan jarinya untuk menyapu jus tumbuhan itu pada kecederaan di pipi kanan. Selepas itu, dia menekan tumbuhan yang dikunyah untuk menutup luka terbuka seperti pembalut sementara, menurut kajian baharu dalam Laporan Saintifik.

Penyelidikan sebelum ini mendokumentasikan beberapa spesies beruk besar mencari ubat di hutan bagi menyembuhkan diri sendiri, tetapi saintis belum melihat haiwan merawat dirinya sendiri dengan cara ini.

“Ini adalah kali pertama kami memerhatikan haiwan liar yang menggunakan tumbuhan ubatan yang cukup kuat secara langsung pada luka,” kata Pengarang bersama Isabelle Laumer, ahli biologi di Institut Tingkah Laku Haiwan Max Planck di Konstanz, Jerman.

Tingkah laku menarik orang utan itu dirakam pada 2022 oleh Ulil Azhari, Pengarang bersama dan Penyelidik lapangan di Projek Suaq di Medan, Indonesia. Gambar menunjukkan luka haiwan itu tertutup dalam masa sebulan tanpa sebarang masalah.

Saintis memerhati orang utan di Taman Negara Gunung Leuser, Indonesia sejak 1994, tetapi mereka tidak pernah melihat tingkah laku seperti itu sebelum ini.

“Ia adalah satu pemerhatian,” kata ahli biologi Universiti Emory, Jacobus de Roode, yang tidak terlibat dalam kajian itu. “Tetapi selalunya kita belajar mengenai tingkah laku baharu dengan bermula dengan satu pemerhatian.”

“Kemungkinan besar ia adalah pengubatan sendiri,” kata de Roode, sambil menambah bahawa orang utan menggunakan tumbuhan itu hanya pada luka dan tiada pada bahagian tubuh yang lain.

Ada kemungkinan Rakus mempelajari teknik itu daripada orang utan lain yang tinggal di luar taman dan jauh daripada penelitian harian saintis, kata Pengarang bersama Caroline Schuppli di Max Planck.

Rakus dilahirkan dan hidup sebagai juvana di luar kawasan kajian. Penyelidik percaya orang utan itu cedera dalam pergaduhan dengan haiwan lain. Tidak diketahui sama ada Rakus lebih awal merawat kecederaan lain.

Saintis sebelum ini merekodkan primat lain yang menggunakan tumbuhan untuk merawat diri sendiri.

Orang utan Borneo menggosok diri sendiri dengan jus daripada tumbuhan ubatan, mungkin untuk mengurangkan sakit badan atau mengusir parasit.

Cimpanzi di beberapa lokasi diperhatikan mengunyah pucuk tumbuhan yang rasanya pahit untuk melegakan perut. Gorila, cimpanzi dan bonobo menelan daun kasar tertentu secara keseluruhan untuk menyingkirkan parasit perut.

“Jika tingkah laku ini wujud dalam beberapa saudara terdekat kita, apakah yang boleh memberitahu kita mengenai bagaimana ubatan mula-mula berkembang?” kata Tara Stoinski, Presiden dan Ketua Pegawai Saintifik bagi Dana Gorila Dian Fossey yang tidak mengambil untung serta tidak mempunyai peranan dalam kajian itu.

Sumber: TIME (2 Mei 2024)