Pastikan setiap bangunan diguna dan tidak terbiar kosong

Bangunan kuarters yang terbiar lama menunggu masa untuk dirobohkan bagi pembinaan bangunan baharu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan agar memanfaatkan setiap bangunan yang dibina dan tidak menjadikannya terbiar kerana ia hanya akan merugikan negara memandangkan begitu banyak wang yang telah dibelanjakan untuk membinanya.

Akhbar tempatan pada Januari 2025 melaporkan bangunan Mahkamah Persekutuan yang berstatus warisan di tengah bandar raya Kuala Lumpur dibiarkan terbengkalai sehingga mencacatkan pemandangan indah di ibu kota.

Keadaan gerai di Kompleks Pasar Awam Batu Ferringgi terbiar kosong.

Pada Disember 2024 dilaporkan kompleks bangunan pejabat kerajaan negeri di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak yang sebelum ini beroperasi untuk pelbagai urusan masyarakat itu kini terbiar kosong.

Di Pulau Pinang, Kompleks Pasar Awam Batu Ferringgi yang terletak di Jalan Sungai Satu yang memulakan operasinya pada Ogos 2020 yang turut menyediakan medan selera, dewan serbaguna, gelanggang badminton, ruang awam dan kemudahan-kemudahan lain yang serba lengkap itu kini juga terbiar.

Bangunan-bangunan terbiar ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana ia perlu dibangunkan semula serta dimanfaatkan semula kerana ia akan memberikan gambaran negatif mengenai pengurusan harta negara.

Kerajaan mestilah membuat sesuatu untuk membaik pulih bangunan itu kerana ia boleh digunakan untuk manfaat lain dan jika dibiarkan kosong, mungkin lebih banyak kerosakan berlaku pada bangunan ini. Apabila berlaku kerosakan maka lebih banyak kos yang diperlukan untuk membaikinya.

Kompleks Pasar Awam Batu Ferringgi yang terbiar kosong.

Kerajaan boleh membuat penilaian terlebih dahulu untuk melihat sama ada ia sesuai digunakan semula atau perlu dirobohkan dan dibangunkan bangunan baharu, jika ia boleh terus digunakan kerajaan akan dapat menjimatkan perbelanjaannya.

Contohnya bangunan kuarters kakitangan Jabatan Perikanan Pulau Pinang di Batu Maung yang akan dirobohkan dan akan dibina semula tetapi sehingga kini bangunan kuarters itu masih terbiar dan tidak dirobohkan.

Kompleks Pasar Awam Batu Ferringgi di Jalan Sungai Satu.

Semua ruang dan bangunan kosong perlu dimanfaatkan demi untuk kelestarian alam sekitar, penggunaan sumber yang lebih cekap dan untuk pembangunan komuniti. Masalah ini tidak termasuk lagi bangunan yang terbiar akibat projek terbengkalai.

Bangunan yang terbiar ini juga ternyata merugikan rakyat yang sememangnya bergantung kepada bangunan yang dibina ini untuk mendapat kemudahan infrastruktur awam yang lebih baik serta boleh dimanfaatkan oleh mereka.

Walaupun bilangannya mungkin kecil sahaja tetapi ia tetap menjadi satu kerugian kepada negara dan pihak yang berkenaan lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan wang rakyat yang bukan sedikit jumlahnya.

CAP menggesa agar pihak yang diberikan amanah dalam menguruskan bangunan terbiar ini melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan bangunan yang masih boleh digunakan untuk tidak membiarkannya tanpa dimanfaatkan.

Oleh itu, dalam masalah ini aspek pemantauan mestilah ditekankan bagi memastikan semua bangunan milik kerajaan Persekutuan dan Negeri digunakan sepenuhnya agar ia tidak terbiar begitu sahaja demi untuk manfaat bersama.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 16 April 2025