
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendedahkan dalam laporan terbaharu bahawa berbilion pekerja terdedah pada setiap tahun kepada bahaya yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim, dan angka ini berkemungkinan menjadi lebih teruk.
Pekerja pertanian dan pekerja luar lain yang menjalankan kerja berat dalam iklim panas mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya, termasuk haba yang berlebihan, sinaran ultraungu (UV) dan pencemaran udara. Pekerja kini menghadapi kesan kesihatan yang serius daripada bahaya berkaitan perubahan iklim ini.
Menurut ILO, lebih daripada 70% tenaga kerja global berkemungkinan terdedah kepada bahaya kesihatan berkaitan perubahan iklim, dan perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sedia ada sedang bergelut untuk bertahan dengan risiko yang terhasil.
Terdapat bukti kukuh bahawa banyak keadaan kesihatan pekerja dikaitkan dengan perubahan iklim antara lain ialah kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan, disfungsi buah pinggang, gangguan pembiakan dan keadaan kesihatan mental.
Pencemaran udara adalah risiko paling membunuh, menyebabkan kira-kira 860,000 kematian berkaitan kerja dalam kalangan pekerja luar pada setiap tahun, kata laporan ILO. Haba yang berlebihan menyebabkan 18,970 kematian akibat pekerjaan setiap tahun dan sinaran UV membunuh 18,960 melalui kanser kulit bukan melanoma.
“Kesan terbesar akan dirasai oleh golongan miskin yang bekerja, mereka yang bekerja dalam ekonomi tidak formal, pekerja bermusim dan pekerja dalam perusahaan kecil dan mikro,” kata laporan itu lagi.
Dalam sesetengah kes, teknologi yang bertujuan untuk memperlahankan perubahan iklim seperti panel solar dan bateri litium-ion bagi kenderaan elektrik akhirnya boleh menghasilkan bahaya baharu kerana ia mengandungi bahan kimia toksik, laporan itu memberi amaran.
(Baca laporan ILO di sini: https://www.ilo.org/…/news/WCMS_923805/lang–en/index.htm)
Klik di sini bagi laporan, “Ensuring safety and health at work in a changing climate”:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/04/29-April-2024-ILO_SafeDay24_Report_r11_0.pdf
PENJIMATAN & KECEKAPAN TENAGA DAPAT MEMERANGI PERUBAHAN IKLIM DAN MELINDUNGI PEKERJA
Amalan mampan seperti melibatkan diri dalam penjimatan tenaga adalah penting dalam memerangi perubahan iklim, yang boleh membantu mengurangkan risiko kesihatan yang ditimbulkan kepada orang yang terdedah kepada haba yang berlebihan semasa bekerja.
Peningkatan kepekatan gas rumah hijau mengakibatkan perubahan suhu, dan kejadian cuaca ekstrem lain yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan pekerja. Mengurangkan penggunaan tenaga boleh membantu melambatkan perubahan iklim dan mengurangkan kesan ini.
Kecekapan tenaga memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon yang mendorong krisis iklim. Pelepasan gas rumah hijau memerangkap haba matahari, yang membawa kepada pemanasan global dan perubahan iklim. Mengurangkan permintaan keseluruhan bagi tenaga menyebabkan lebih sedikit gas rumah hijau dibebaskan ke atmosfera.
Mengurangkan penggunaan tenaga juga mengurangkan permintaan bagi bahan api fosil. Ini mengakibatkan kurang pencemaran udara, membawa kepada manfaat kesihatan dan penambahbaikan alam sekitar bagi pekerja, terutamanya mereka yang bekerja di luar, yang kerap menjadi orang pertama terdedah kepada akibat perubahan iklim, selalunya bagi tempoh yang lebih lama dan pada intensiti yang lebih besar daripada penduduk umum.
Perubahan iklim berlaku kerana orang ramai dan perniagaan di seluruh dunia mencipta gas rumah hijau dan pelepasan karbon dioksida yang berlebihan. Penggunaan elektrik menyumbang kepada pengeluaran gas rumah hijau yang mencemarkan atmosfera dan meningkatkan suhu global.
Dasar kerajaan dan syarikat mengurangkan jejak karbon mereka adalah penting bagi mengubah keadaan pada skala yang lebih besar. Tindakan kolektif ramai individu di seluruh dunia untuk mengurangkan pemanasan global dengan membuat perubahan dalam kehidupan seharian mereka juga boleh mendorong perubahan.
Amalkan penjimatan tenaga atau pemuliharaan tenaga. Ia melibatkan penggunaan tenaga yang lebih bijak, dan memerlukan kita mengurangkan aktiviti yang menggunakan tenaga (contohnya: menutup lampu, kurang memandu atau kurang menggunakan peralatan).
Jika semua orang berusaha untuk melaksanakan kecekapan tenaga di mana yang kita boleh, pelepasan gas rumah hijau boleh dikurangkan, dan ini akhirnya boleh melawan perubahan iklim.
Berikut ialah beberapa langkah penjimatan tenaga yang mudah dan berkesan yang boleh anda ambil untuk mengurangkan jejak tenaga dan membantu menghentikan pemanasan global.
> Cabut palam peralatan yang tidak digunakan untuk mengurangkan kuasa siap sedia.
> Tanam tumbuhan dalaman untuk menyejukkan rumah untuk mengurangkan penggunaan penyaman udara berintensifkan tenaga.
> Tanam lebih banyak pokok di sekitar rumah dan sekolah untuk melawan panas.
> Gunakan pencahayaan semula jadi untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
> Tetapkan penyaman udara untuk ditutup atau diselaraskan kepada suhu yang lebih tinggi apabila anda tidur.
> Seterika pakaian secara pukal, dan hanya sekali seminggu.
> Gunakan peralatan yang cekap tenaga.
> Tutup periuk semasa memasak untuk mengurangkan tenaga yang diperlukan.
> Berkongsi kereta, berbasikal atau gunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan pelepasan karbon.
> Gunakan pemanas pancuran mandian hanya apabila perlu sahaja.
> Cuci pakaian dengan muatan penuh untuk menjimatkan air dan tenaga.