Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyediakan perumahan pada harga yang berpatutan untuk rakyat Pulau Pinang.
Satu artikel berita baru-baru ini menyatakan bahawa projek perumahan mampu milik terbaharu oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan yang dikenali sebagai Suria 2 akan bermula pada penghujung tahun ini manakala projek perumahan Suria 1 telah pun siap.
Projek perumahan mampu milik Suria di Batu Kawan nampaknya bukan sekadar untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang, tetapi ia juga untuk memajukan lagi kawasan Batu Kawan bagi menjadikannya kawasan yang lebih menarik untuk didiami oleh rakyat Pulau Pinang.
Walaupun ini merupakan satu usaha yang positif memandangkan amat penting untuk membangunkan semua kawasan Pulau Pinang supaya penduduk Pulau Pinang mempunyai lebih banyak kawasan kediaman untuk didiami, kami menggesa agar kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan perhatian mengenai beberapa perkara ini dalam usaha mereka pada masa depan untuk menyediakan perumahan mampu milik, yang mana: –
- Perlu melihat pada cara untuk terus menyediakan perumahan mampu milik juga di kawasan pulau.
- Bagi tanah persekutuan dan tanah negeri yang dimaksudkan untuk membina perumahan mampu milik diberikan kepada kerajaan negeri/GLC seperti PDC dan bukan syarikat swasta untuk dibangunkan.
- Pihak berkuasa juga perlu memantau projek perumahan mampu milik dengan teliti bagi memastikan kontraktor tidak berkompromi dengan kualiti hanya kerana projek itu dilabelkan sebagai “perumahan mampu milik”.
- Melaksanakan lebih banyak skim sewa untuk dimiliki supaya mereka yang berada di peringkat bawah B40 akhirnya boleh memiliki rumah sendiri.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 7 Jun 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/