Perundangan Pengakhiran Generasi Tembakau Merupakan Langkah Penting Ke Hadapan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan dan memuji pengumuman oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk mencadangkan satu undang-undang progresif bagi menghapuskan merokok dan memiliki produk tembakau bagi mereka yang dilahirkan selepas 2005.

Kami menggesa ahli kabinet dan ahli parlimen (MP) untuk sebulat suara menyokong cadangan Khairy ini kerana sepertimana yang disifatkannya, “Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang menggubal undang-undang pengakhirankepada generasi tembakau”. Ia akan menjadi pencapaian penting bagi Malaysia yang memulakan kawalan tembakaunya pada awal 1970-an.

Sekiranya undang-undang itu digubal, ia akan menyumbang kepada masyarakat yang lebih sihat dan pada masa yang sama dapat mengurangkan beban kewangan terhadap sistem penjagaan kesihatan. Penyakit kronik berkaitan merokok juga menyebabkan kehilangan jam kerja di tempat kerja.

Kerajaan membuat keputusan yang buruk apabila mengenakan duti eksais 10% ke atas semua produk rokok, baik elektronik dan bukan elektronik, untuk meningkatkan hasil pada 2021 tanpa mengambil kira kos ekonomi untuk merawat penyakit kronik berkaitan merokok. Cukai yang diperolehi daripada semua produk tembakau adalah kecil berbanding anggaran perbelanjaan semasa sebanyak RM3 bilion untuk merawat penyakit kronik berkaitan merokok. Jumlah itu diunjurkan akan meningkat kepada RM8 bilion menjelang 2030.

Dakwaan oleh industri tembakau bahawa vape adalah tidak berbahaya dan cara untuk melepaskan orang ramai daripada menghisap produk tembakau adalah tidak berasas sama sekali dan ia lebih kepada mementingkan diri sendiri.

Kajian telah menunjukkan bahawa menghisap vape adalah tidak selamat kerana aerosolnya mengandungi logam berat dan juga bahan kimia toksik lain. Menghisap vape didapati lebih menagihkan, menjadikannya lebih sukar untuk berhenti.

Malaysia amat memerlukan undang-undang kawalan tembakau yang komprehensif untuk menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 semasa yang secara anehnya diletakkan di bawah Akta Makanan 1983. Malah, jika tidak ada lobi sengit oleh industri tembakau, Peraturan-Peraturan itu akan digantikan dengan Akta Kawalan Tembakau yang berdiri sendiri pada 2007.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat kepada Pengarang, 15 Julai 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/