SAM terperanjat bahawa EIA untuk perlombongan Lanthanide diluluskan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar

SAM amat terperanjat apabila mendengar berita berkenaan dengan kelulusan pada minggu lepas, laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan projek perlombongan nadir bumi lanthanide di Hulu Perak, yang mana sebelum ini laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaporkan bahawa laporan EIA tersebut telah pun ditolak. Menurut laporan EIA yang kini telah diluluskan, projek itu akan melibatkan kawasan tanah seluas 2,161 hektar, yang mungkin merupakan projek sedemikian yang terbesar di negara ini.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad telah dilaporkan oleh media menyatakan bahawa mineral itu boleh dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan bagi negeri Perak dan “projek rintis” di tanah kerajaan negeri ini akan menentukan sama ada terdapat kesan-kesan radioaktif yang berbahaya semasa aktiviti perlombongan dijalankan.

Bagi MB Perak untuk mengatakan bahawa projek rintis ini akan menentukan sama ada lanthanide akan melibatkan kesan radioaktif atau tidak, adalah sangat mengelirukan, kerana laporan EIA telah membuktikan kewujudan thorium dalam sampel tanah yang telah diuji.

Radioaktif yang wujud secara semula jadi (Th-228) dalam sampel tanah yang diuji yang diambil dari tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) / lot Tanah PT1764 dilaporkan adalah melebihi 1 Bq/g.  Sebarang pelepasan bahan tindak balas secara tidak terkawal (contohnya asid sulfurik) semasa fasa persediaan atau operasi boleh mengundang bencana.

Ini secara langsung akan menjejaskan penduduk tempatan dan sumber air minuman mereka. Projek ini akan dijalankan dengan penggunaan Ammonium Sulphate sebagai bahan kimia utama, dan hasil pemodelan air bawah tanah telah membuktikan bahawa risiko pencemaran yang tinggi akan berlaku akibat daripada penggunaan ammonium dan sulfat di telaga 2 dan 3 oleh ladang PPPNP dan FELCRA di sekitar kawasan perlombongan yang dicadangkan.

Turut menjadi kebimbangan utama ialah pencemaran sungai yang terdapat di sekitar kawasan tapak cadangan yang merupakan sumber air penting bagi masyarakat setempat di penempatan-penempatan yang berhampiran iaitu di Kampung Pong dan Kampung Orang Asli Bukit Asu di mana penduduk tempatan di kampung-kampung tersebut kerap memancing dan menjalankan aktiviti rekreasi di dalam sungai-sungai berdekatan. Kami difahamkan bahawa projek ini terletak di kawasan kepala air Sungai Rui di mana sungai tersebuat adalah salah satu anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak.  Oleh itu, sebarang kemerosotan kepada air permukaan atau air bawah tanah akibat daripada perlombongan yang telah dicadangkan boleh menjejaskan keseluruhan atau sebahagian besar kawasan tadahan air dan ekosistemnya.

Selain daripada kesan radioaktif, bagaimanakah projek perlombongan sebegini boleh dibenarkan di dalam satu kawasan sensitif alam sekitar dan juga yang berada di dalam Kawasan Rangkaian Koridor Ekologi (CFS), dan telah diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1?

Untuk mengelakkan gangguan dan kemerosotan yang ketara kepada alam sekitar, hanya aktiviti yang terkawal seperti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, aktiviti penyelidikan dan pendidikan dibenarkan di dalam kawasan KSAS Tahap 1 dan perlombongan tidak sama sekali boleh dianggap sebagai aktiviti berimpak rendah.

SAM telahpun membantah cadangan projek ini atas sebab-sebab yang tersebut di atas apabila kami mengemukakan ulasan kami kepada JAS pada bulan Ogos 2021.

Meluluskan aktiviti perlombongan sebegini di dalam ekosistem KSAS Tahap 1 tidak boleh diterima sama sekali dan secara terus terang ia melanggar dasar perancangan kerajaan persekutuan sendiri dan tidak boleh dianggap sebagai aktiviti yang mampan dan lestari. Khususnya, aktiviti yang dicadangkan mempunyai risiko yang tinggi untuk meningkatkan penumpuan  ammonium dan thorium, yang merupakan bahan-bahan radioaktif semulajadi yang sedia ada di kawasan persekitaran tersebut.

MB Perak dan JAS harus memberi penjelasan bagaimana laporan EIA diluluskan walaupun kebimbangan kami telah dibangkitkan dan apakah respon terhadap maklum balas dan ulasan orang awam, termasuk yang dikemukakan oleh SAM.

Negeri Perak sudahpun mempunyai satu fasiliti kekal simpanan sisa radioaktif di Banjaran Kledang yang mengandungi sisa thorium dan uranium yang berbahaya dan diwarisi daripada kilang Asian Rare-Earth (ARE) yang telah beroperasi di Bukit Merah, Ipoh pada pertengahan 1980-an hingga 1990-an.

Sisa-sisa ini akan kekal radioaktif untuk berbilion tahun dan menimbulkan risiko yang tinggi kepada rakyat Perak.

Perkara yang paling mengejutkan ialah kerajaan negeri Perak dan JAS tidak mengambil iktibar atau pengajaran dari kesilapan lampau tragis yang berlaku di loji ARE yang  menyebabkan keracunan radioaktif yang serius terhadap penduduk tempatan Bukit Merah, dimana berlakunya insiden kematian yang tinggi di kalangan kanak-kanak akibat daripada menghidap penyakit leukemia dan kanser, kanak-kanak dikesan dengan kadar plumbum yang tinggi di dalam darah mereka, dan kadar keguguran yang tinggi dalam kalangan wanita hamil.

Dengan hanya menambah perkataan ‘mampan’ kepada aktiviti perlombongan dan pemprosesan nadir bumi tidak akan menjadikan aktiviti yang bahaya dan berisiko tinggi ini selamat, terutamanya apabila ia melibatkan sisa-sisa radioaktif seperti thorium dan uranium yang akan kekal berbahaya di alam sekitar untuk generasi akan datang.

SAM menyeru kerajaan negeri Perak untuk tidak meneruskan dengan cadangan aktiviti perlombongan ini dan mendapat reputasi sebagai negeri yang mempunyai fasiliti toksik untuk generasi akan datang.

Mengutamakan keuntungan lebih daripada kesihatan dan kelestarian alam sekitar adalah amat bertentangan dengan konsep pembangunan mampan dan selain daripada itu membenarkan aktiviti berisiko tinggi sebegini di kawasan sensitif alam sekitar adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

 

Meenakshi Raman
Presiden,
Sahabat Alam Malaysia

Kenyataan Media, 25 Mei 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/