Pekeliling dasar baru-baru ini yang dikeluarkan oleh pentadbir pihak ketiga (third-party administrator – TPA) yang bertanggungjawab bagi mengendalikan tuntutan insurans kesihatan swasta mengarahkan doktor untuk memberi preskripsi ubat dengan menunjukkan bahan aktif ubat sahaja, yang biasanya dikenali sebagai nama generik. Ini telah mencetuskan perbincangan, terutamanya dalam kalangan sektor penjagaan kesihatan swasta.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang bahawa pertubuhan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) telah salah faham atau salah tafsir dasar tersebut, dengan mendakwa bahawa ia bermakna doktor hanya boleh mempreskripsikan ubat generik. Tafsiran ini tidak betul, mengelirukan orang ramai mengenai niat sebenar dasar itu.
Ringkasnya, semasa perundingan dengan pesakit, jika doktor memutuskan bahawa pesakit memerlukan ubat penahan sakit, dia sepatutnya mempreskripsikan ‘paracetamol’ dan bukannya ‘Panadol’ (nama jenama pemula) atau ‘Uphamol’ (nama jenama generik). Orang ramai sering keliru dengan sesetengah pengamal perubatan yang membayangkan bahawa ubat generik adalah lebih rendah daripada jenama pemula. Malah, di bawah tadbir urus dan kawalan ketat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), semua ubat generik di pasaran Malaysia, sama ada keluaran tempatan atau import, mestilah memenuhi piawaian pengesahan dan pelepasan yang tinggi untuk memenuhi keperluan ‘keselamatan, keberkesanan dan kualiti’. Oleh itu, ubat-ubatan generik mesti menjalankan kajian biokesetaraan untuk menunjukkan bahawa ia serupa dengan profil ubat pemula; oleh itu, ubat generik adalah sama keberkesanannya.
Malah jika doktor memberi preskripsi paracetamol, pesakit masih boleh mendapatkan pil ‘Panadol’, kerana jenama pemula juga mengandungi bahan aktif yang sama di bawah nama generiknya. Menurut Kajian Pemantauan Harga Ubat 2022, harga perolehan median dalam sektor swasta menunjukkan bahawa kos jenama pemula empat kali lebih tinggi daripada generik. Oleh itu, adalah mudah untuk melihat bagaimana ini diterjemahkan kepada harga runcit akhir yang lebih tinggi. Idea bahawa jenama pemula adalah unggul adalah satu salah faham yang besar. Kemungkinan besar syarikat jenama pemula mempunyai sumber kewangan yang lebih besar untuk pemasaran dan pengiklanan, dan merupakan satu-satunya produk dalam pasaran sehingga monopoli patennya tamat tempoh. Oleh itu, membuka pasaran kepada persaingan generik boleh menurunkan harga.
CAP ingin mengingatkan MMA dan APHM serta orang ramai bahawa Dasar Ubat Nasional (DUNas) 2012 menetapkan dasar ubat generik kebangsaan dalam seksyen 3.2.2.3. Di antara tujuh perkara itu, dasar itu menggariskan perkara berikut:
- Mempreskripsikan dengan menggunakan Nama Generik Antarabangsa (internatioanl non-proprietary name – INN) hendaklah diamalkan;
- Perolehan ubat-ubatan melalui nama generik hendaklah digalakkan;
- Semua ubat-ubatan yang didispens hendaklah dilabelkan dengan jelas dengan menggunakan nama generik INN dengan/atau tanpa nama jenama.
Justeru itu, pekeliling TPA adalah selaras dengan DUNas. Malah, semua kemudahan sepatutnya mengamalkan amalan ini untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan pesakit dengan maklumat berguna mengenai ubat mereka, ini termasuklah nama generik. Kemampuan untuk mendapat ubat-ubatan, dengan peningkatan kos penjagaan kesihatan, adalah penting dan dengan pilihan untuk membeli ubat generik, pengguna akan mendapat penjimatan yang ketara.
Oleh itu, CAP percaya bahawa doktor sepatutnya sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik pesakit mereka, termasuk mempertimbangkan implikasi kewangan penjagaan kesihatan kepada mereka. Dengan memberikan preskripsi ubat mengikut nama generiknya, pesakit akan dimaklumkan mengenai ketersediaan ubat generik yang lebih murah yang sama keberkesanannya. Ahli farmasi juga boleh menasihati pesakit dengan sewajarnya tanpa melanggar preskripsi doktor.
CAP percaya bahawa dasar ini benar-benar akan membantu untuk membendung inflasi perubatan dan mengawal kos ubat tanpa bercanggah dengan pertimbangan dan arahan perubatan doktor. Ini sepatutnya memberi manfaat kepada semua orang. Oleh itu, CAP menyokong amalan yang baik untuk doktor dalam mempreskripsikan ubat mengikut nama generiknya.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 29 September 2025


