
Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2024, kini tiba masanya untuk merenung kembali peranan kita dalam menjaga planet ini. Tahun ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membuat sorotan mengenai keperluan mengurus sisa panel solar dan mengamalkan amalan penjimatan tenaga.
Penggunaan tenaga solar adalah langkah positif ke arah mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan memerangi perubahan iklim. Walau bagaimanapun, peningkatan dalam pemasangan panel solar membawa bersamanya cabaran bagi menguruskan sisa panel solar dengan berkesan.
Dilaporkan menjelang akhir 2022, sekitar 1.94 GW kapasiti penjanaan solar dipasang di Malaysia. Memandangkan penggunaan tenaga solar semakin meningkat, adalah penting untuk menangani kesan alam sekitar daripada sisa panel solar, memandangkan kapasiti solar yang dipasang diunjurkan mencecah 4.71 GW menjelang 2025 dan akan berkembang dengan pesat.
Panel solar mengandungi bahan toksik seperti Copper Indium Gallium Diselenide (CIS/CIGS), Cadmium Telluride (CdTe), Amorphous Silicon (a-Si) dan banyak lagi. Bahan berbahaya ini boleh dilepaskan ke alam sekitar semasa pengeluaran dan pelupusan, menimbulkan risiko yang ketara kepada alam sekitar dan kesihatan jika ia tidak diuruskan dengan betul.
Memandangkan kira-kira 80 juta tan panel solar di seluruh dunia dijangka mencapai penghujung jangka hayatnya menjelang 2050, keperluan bagi pelupusan dan kitar semula yang selamat dan berkesan menjadi kritikal. Penyelidikjuga menganggarkan menjelang 2028, sisa elektronik solar akan mengandungi lebih 1 bilion USD dalam bahan yang boleh dituai.
Bateri solar litium juga menimbulkan potensi bahaya kebakaran dan risiko alam sekitar jika tidak dilupuskan dengan betul. Bateri ini boleh terbakar apabila terdedah kepada haba, dihancurkan atau apabila ia bersentuhan dengan lembapan. Lebih-lebih lagi, bahan toksik daripada panel solar boleh meresap ke dalam tanah dan air, yang akan membawa kepada pencemaran.
Untuk mengurangkan risiko ini, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menggubal dan menguatkuasakan peraturan pengurusan sisa panel solar dan memastikan pembangunan kemudahan kitar semula yang selamat untuk mengendalikan sisa panel solar yang semakin meningkat. Kemudahan kitar semula panel solar akan menjamin pemulihan dan penggunaan semula bahan-bahan penting, justeru mengurangkan keperluan bagi sumber asli dan mengehadkan sisa yang dihantar untuk dilupuskan.
Sebagai tambahan kepada menangani pengurusan sisa panel solar, kami menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan penjimatan tenaga. Langkah yang mudah boleh mengurangkan penggunaan tenaga dengan ketara, menjimatkan kos dan mengurangkan pelepasan karbon. Berikut ialah beberapa panduan penjimatan tenaga yang mudah diamalkan:
1. Beralih kepada pencahayaan cekap tenaga: Gantikan mentol lampu pijar dengan mentol lampu LED, yang menggunakan sehingga 90% kurang elektrik dan mempunyai jangka hayat yang lebih lama.
2. Cabut palam peralatan apabila tidak digunakan: Banyak peranti terus menarik kuasa walaupun dimatikan. Mencabut palam boleh menjimatkan tenaga.
3. Optimumkan penggunaan penyaman udara: Tetapkan suhu AC antara 24°C-26°C bagi mengurangkan penggunaan tenaga lebih daripada 20%.
4. Bersihkan penyaman udara secara tetap: Menggantikan penapis yang kotor dan tersumbat dengan yang bersih boleh mengurangkan penggunaan tenaga penyaman udara sebanyak 5% hingga 15%.
5. Gunakan peranti pintar: Sistem automasi pintar boleh mengesan apabila peranti tidak digunakan dan mematikannya secara automatik.
6. Jimatkan tenaga pemanas air: Kurangkan penggunaan pancuran mandian air panas, yang menyumbang sebahagian besar bil tenaga isi rumah.
7. Memaksimumkan cahaya semula jadi dan pengudaraan: Buka tingkap untuk mengurangkan keperluan bagi pencahayaan buatan dan penyaman udara.
8. Amalkan tabiat cucian yang cekap: Basuh cucian dengan muatan penuh untuk memaksimumkan kecekapan tenaga mesin basuh.
9. Seterika pakaian semua sekali pada satu masa: Seterika pakaian secara pukal untuk mengelakkan memanaskan semula seterika.
10. Pengangkutan cekap tenaga: Berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 45%, mengurangkan bahan pencemar di dalam atmosfera dan meningkatkan kualiti udara.
Pada Hari Alam Sekitar Sedunia ini, marilah kita bersama-sama komited kepada amalan mampan yang akan melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang. Kami menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk memastikan ketersediaan infrastruktur bagi kitar semula dan pengurusan panel solar dan bateri yang selamat. Dalam hal ini, CAP telah menyerahkan memorandum kepada agensi yang berkaitan pada 23 Mei 2024 menggesa tindakan segera diambil terhadap isu ini dan isu-isu lain bagi memastikan peralihan tenaga yang adil.
Tambahan pula, penggunaan teknologi penjimatan tenaga seperti peralatan dan pencahayaan yang cekap tenaga akan mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dengan ketara. Menggalakkan penjimatan tenaga melalui tingkah laku menggalakkan yang menjimatkan tenaga dan memupuk budaya kemampanan adalah amat penting. Bersama-sama, kita boleh mewujudkan masa depan yang lebih bersih, hijau dan lebih mampan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 5 Jun 2024