Tidak Masuk Akal untuk Menangguhkan GEG

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati adalah amat memeranjatkan apabila di Parlimen pelobi industri tembakau dan vape bertemu Ahli Parlimen bagi mencari sokongan untuk agenda industri vape baru-baru ini. Pelobi ini telah terlibat secara aktif dalam menggelincirkan undang-undang Generasi Penamat (GEG).

Kami ingin menegaskan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dasar kesihatan awam daripada dipengaruhi oleh kepentingan komersial dan kepentingan lain industri tembakau selaras dengan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC).

Kerajaan juga perlu memperkenalkan langkah untuk mengehadkan interaksi antara Ahli Parlimen dan industri tembakau dan vape, menggalakkan ketelusan dalam interaksi itu. Dalam insiden baru-baru ini, pihak industri telah mencemarkan kesucian Dewan Parlimen dengan melobi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) di sana. Peranan jawatankuasa itu adalah untuk memperhalusi lagi Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok (RUU) dan membuat cadangan yang diperlukan kepada pembuat dasar.

Semalam (11 Oktober 2023) Menteri Kesihatan YB Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan kenyataan akhbar, menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam tinjauan awam mengenai inisiatif GEG yang akan mengharamkan penjualan tembakau dan produk merokok kepada sesiapa yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan kesihatan awam. Tidak ada perkara seperti menjalankan tinjauan awam mengenai penggunaan nikotin yang merupakan bahan yang sangat menagihkan. Ia mempersendakan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan yang berperanan menilai GEG dan mengukuhkan rang undang-undang itu supaya ia boleh dibincangkan, diteliti dan disokong oleh semua pihak.

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok sebenarnya telah diteliti dan diluluskan oleh JKPK Parlimen sebelum ini tetapi sebelum ia dapat dibahaskan dan diluluskan, Parlimen telah dibubarkan. Taktik penangguhan ini nampaknya di bawah tekanan daripada lobi tembakau dan ia sama sekali tidak wajar.

Bagi mereka yang mempertikaikan hak individu untuk membuat keputusan bagi menghisap vape, adakah ia juga bermakna masyarakat boleh duduk diam sementara seseorang itu mencederakan diri sendiri. Pada asasnya tidak ada prinsip moral di sebalik hujah itu dan kerajaan mempunyai kewajipan untuk mengehadkan kebebasan individu atas alasan penjagaan kesihatan.

Justeru, kami menggesa larangan sepenuhnya terhadap e-rokok dan vape kerana Parlimen tidak seharusnya mengorbankan nyawa generasi muda untuk keuntungan industri tembakau dan vape. Parlimen yang kini sedang bersidang mestilah meluluskan GEG dengan secepat mungkin memandangkan bukti saintifik yang meluas bahawa e-rokok dan vape mempunyai kesan kesihatan yang amat serius.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 12 Oktober 2023