Tindakan keras terhadap penjualan racun makhluk perosak haram

Gambar: Loner Nguyen/Shutterstock melalui PANAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Racun Makhluk Perosak untuk segera membanteras dan mengambil tindakan keras terhadap penjualan racun makhluk perosak haram di negara ini.

Baru-baru ini dua kanak-kanak lelaki terkorban akibat memakan keropok yang dicampur dengan racun tikus haram dari China. Menurut pasukan penyiasat Kementerian Kesihatan, mereka menemui satu paket racun tikus dipercayai diletakkan dalam bungkusan keropok yang dimakan oleh dua beradik itu. Bungkusan racun kosong yang dibuka dan tertera tulisan Cina ditemui pasukan terbabit yang melakukan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian.

Tinjauan yang dijalankan oleh CAP selama bertahun-tahun menunjukkan bahawa racun makhluk perosak haram masih dijual secara terbuka di pasaran di Pulau Pinang dan Baling, Kedah. Racun makhluk perosak ini yang kebanyakannya dari China tidak mendedahkan bahan kimia aktif yang terdapat pada label. Ia juga tidak mempunyai penerangan atau arahan yang mencukupi bagi pengendalian, penggunaan atau penyimpanan, ini merupakan satu   pelanggaran Kod Etika Antarabangsa mengenai Pengurusan Racun Makhluk Perosak dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

Racun makhluk perosak haram yang dijual di dalam negara diedarkan dari negeri di utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, atau diimport dari negara seperti Vietnam, China, dan Thailand, walaupun diharamkan di beberapa negara asal ini.

Dalam tinjauan lain yang dijalankan beberapa tahun lalu di Kerpan, Sanglang, Pendang dan Sik di negeri Kedah kami mendapati Endosulfan, racun makhluk perosak terlarang amat mudah didapati.

Endosulfan diharamkan di lebih 60 negara. Disebabkan oleh ketoksikannya yang amat tinggi dan potensi yang tinggi bagi bioakumulasi dan pencemaran alam sekitar, pengharaman global terhadap penggunaan dan pembuatan endosulfan sedang dipertimbangkan di bawah Konvensyen Stockholm.

Racun makhluk perosak ini boleh dibeli dari kedai yang menjual bahan kimia pertanian. Walaupun ia tidak dipamerkan di kedai, ia boleh didapati atas permintaan. Seliter racun makhluk perosak itu dijual dengan harga RM32.00 dalam botol yang tidak berlabel.

Penanam padi di kawasan itu secara terbuka mengakui bahan terlarang itu boleh didapati dan sentiasa disembur untuk menghilangkan serangga perosak di sawah. Ia biasanya dirujuk sebagai Racun Cina kerana pembungkusannya hanya memberikan penerangan dalam tulisan Cina.

Pasaran e-dagang Malaysia, platform beli-belah dalam talian juga menjadi saluran yang semakin berkembang bagi penjualan produk racun makhluk perosak menurut Rangkaian Tindakan Racun Makhluk Perosak Asia dan Pasifik (PANAP).  Laporan PANAP 2023 bertajuk “Unboxed: Online Sales of Banned Pesticides in Malaysia” memperincikan bagaimana kelemahan kawal selia membenarkan penjualan Racun Makhluk Perosak Sangat Berbahaya (HHP) di Malaysia.

Siasatan PANAP mendedahkan bahawa tiga HHP yang diharamkan (paraquat, endosulfan, dan profenophos) di Malaysia dijual secara terbuka di platform e-dagang.

Menurut laporan itu, Paraquat, endosulfan, dan profenophos adalah antara 48 racun perosak yang diharamkan atau dihadkan di Malaysia disebabkan kesan negatifnya yang meluas terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Racun makhluk perosak ini diketahui boleh menyebabkan kanser, gangguan perkembangan, penyakit, dan dikaitkan dengan banyak kes kematian. Selain itu, bahan-bahan ini kekal dalam persekitaran dan sangat toksik kepada haiwan dan organisma lain.

Sementara undang-undang negara dan konvensyen antarabangsa wujud untuk mengawal racun makhluk perosak, penguatkuasaan peraturan ini masih tidak mencukupi. Pengilang, peniaga dan mereka yang mengambil kesempatan terus mengelak daripada undang-undang dengan menggunakan peniaga tidak berlesen dan platform e-dagang untuk memasarkan racun makhluk perosak yang diharamkan, yang menimbulkan risiko ketara kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Memandangkan perkara di atas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Lembaga Racun Makhluk Perosak untuk:

  • Tindakan keras terhadap penjualan racun makhluk perosak haram di negara ini;
  • Menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun Perosak 1974;
  • Mendidik petani mengenai kesihatan dan kesan alam sekitar daripada racun makhluk perosak;
  • Menyediakan cara yang lebih selamat untuk menghapuskan makhluk perosak seperti ternakan itik di sawah padi.

Sementara itu agroekologi atau pertanian yang menggantikan bahan kimia toksik dengan amalan yang selaras dengan alam semula jadi perlu diiktiraf, diutamakan dan disokong sebagai ‘amalan pertanian yang baik.’ Agroekologi telah terbukti menghasilkan hasil pertanian yang lebih selamat, bukan hanya untuk pengguna tempatan dan pasaran eksport, tetapi juga untuk petani dan anak-anak mereka yang mempunyai hak untuk mendapat persekitaran yang bersih, sihat dan mampan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 15 Julai 2024