Apabila Ch’ng Ah Bee yang berusia 80 tahun pertama kali mendengar bahawa Persatuan Warga Emas (Senior Citizens Association – SCA) di Jalan Scotland, Pulau Pinang akan memulakan kebun eko (eco-farm), beliau begitu teruja kerana boleh menggunakan kemahiran berkebunnya dengan baik.
“Saya pernah tinggal di rumah dengan halaman bertanah dan mempunyai ruang untuk mengusahakan kebun kecil sendiri di mana saya boleh menanam banyak tanaman,” kata Ch’ng. “Tetapi apabila saya berpindah ke kondominium, ruangnya terhad dan saya hanya boleh menanam sayuran tertentu sahaja seperti cili, daun kari, pudina dan beberapa herba lain. Apabila saya diberitahu bahawa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan datang untuk membantu mewujudkan kebun eko di persatuan ini, saya menunggunya dengan teruja untuk mengusahakannya.”
Persatuan Warga Emas telah menerima bimbingan daripada CAP untuk memulakan kebun di premis persatuan itu.
Persatuan Warga Emas yang mempunyai 700 ahli,, memulakan kebun kira-kira dua bulan lalu dengan 10 ahli aktif, yang bergilir-gilir menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan herba sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Ann Ng, 67, yang mengambil ubat sejak lapan hingga sembilan tahun lalu kerana menghidap diabetes, berkata beliau kini berhenti daripada mengambil ubat kerana ramuan daun lada liar dan daun kari yang direbus dan diminum airnya.
“Saya mempunyai kebun kecil sendiri di rumah dan menanam lada liar serta daun kari bersama dengan herba dan sayur-sayuran lain. Jadi, saya mendapat bekalan segar lada liar dan daun kari terus dari halaman rumah sendiri,” katanya.
Ng, yang datang membantu di kebun tersebut berkata beliau amat gembira. “Ia bukan sahaja satu terapi yang baik tetapi juga senaman yang baik untuk warga emas seperti saya,” katanya dengan gembira.
Presiden Persatuan Warga Emas, Katherine Ong berkata mereka berpindah ke premis baharu itu pada November 2021.
“Apabila saya melihat kawasan tanah di premis Persatuan, saya tahu bahawa kita boleh menggunakannya dengan baik dengan memulakan suatu kebun untuk memastikan ahli kita sentiasa aktif dan juga dapat mengekalkan tanah yang subur.
“Setakat ini kami telah menanam terung, jagung, bendi, bayam, cili, marigold, betik dan kami juga merancang untuk menanam lebih banyak lagi tanaman dengan bantuan dan nasihat daripada CAP.
“Terdapat juga rancangan untuk membuat kompos supaya kami boleh menghasilkan baja bebas bahan kimia kami sendiri untuk tanaman kami,” tambahnya lagi.
Ong juga berkata, apabila lebih banyak sayur-sayuran tersedia di plot itu, beliau bercadang untuk memulakan kelas memasak makanan sihat di persatuan itu untuk warga emas.
Penyelaras kebun, Dr Rajeswari Raman berkata ketika mereka baharu bermula, Pegawai CAP menyediakan pengetahuan teknikal untuk memulakan kebun itu.
“Kami tidak mempunyai pengalaman, jadi kami mempelajari segala-galanya sejak dari awal daripada CAP sehinggalah kepada membuat penghalau makhluk perosak kami sendiri. Malah kami mendapat bekalan baja kompos cacing daripada CAP,” katanya.
Dr Rajeswari berkata persatuan itu juga mempunyai rancangan untuk memulakan kebun herba tidak lama lagi.
Kebun eko di persatuan itu adalah antara contoh yang menunjukkan bahawa gelombang hijau di Pulau Pinang nampaknya semakin meningkat dalam kalangan golongan muda dan tua, terutamanya dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Dengan CAP memperjuangkan dan menetapkan piawaian di sebalik konsep kebun bandar selama lebih sedekad lalu, trend itu semakin mendapat perhatian.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow menyatakan bahawa beberapa tahun lalu apabila Menteri Pertanian ketika itu memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka perlu melihat kepada alternatif untuk menanam bayam sendiri dan bukannya merungut mengenai kenaikan harga, terdapat banyak keriuhan dalam kalangan penduduk berhubung perkara itu.
“Walau bagaimanapun, hari ini ramai yang menganggap itu sebagai pilihan yang boleh dilaksanakan memandangkan kenaikan harga makanan dan kekurangan jaminan makanan negara telah menimbulkan kebimbangan serius”.
“Pada masa kini, kami menerima lebih banyak panggilan daripada isi rumah serta suri rumah mengenai kaedah membuat kompos, cara berkebun dalam skala kecil, dan sebagainya.
“Nampaknya orang ramai akhirnya menerima gelombang hijau ini dan masa untuk pertanian bandar sudah tiba!” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa dengan harga sayur-sayuran di Malaysia meningkat antara 30% dan 40% sejak akhir-akhir ini, ramai orang mula merasa tekanannya.
“Daripada menunggu harga turun, kami meminta rakyat untuk menanam sayur-sayuran mereka sendiri.
“Menanam sayur sendiri di rumah boleh menjimatkan kos.
“Ingat bahawa kita tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanam sayur-sayuran.
“Tanaman berbuah seperti bendi, terung dan cili serta sayur-sayuran berdaun boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni.
“Begitu juga dengan bayam dan tumbuhan tahan lama seperti pudina,” katanya.
Subbarow menyatakan bahawa memandangkanramai yang tinggal di bangunan bertingkat dan ingin menanam sayuran mereka sendiri, CAP juga turut mempromosikan unit penanaman menegak.
“Dengan cara ini, tiada siapa yang boleh merungut bahawa mereka tidak mempunyai tanah untuk menanam sayur-sayuran,” katanya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memulakan Projek Pertanian Asli sejak 20 tahun lalu, menganjurkan program kesedaran di seluruh negara bagi mendidik para petani mengenai kesan buruk menggunakan bahan kimia untuk menanam tanaman makanan dan memperkenalkan teknik pertanian asli sebagai alternatif. Memandangkan pengawalan makhluk perosak merupakan isu utama yang dihadapi oleh majoriti petani, mereka telah diajar mengenai pengurusan makhluk perosak bersepadu yangmudah termasuklah kaedah menggunakan pelbagai jenis tumbuhan bagi menyediakan penghalau makhluk perosak.
Pakar dari India telah dijemput untuk memberikan keyakinan kepada petani Malaysia. Di samping itu CAP turut mengatur lawatan sambil belajar petani Malaysia ke India.
Selama bertahun-tahun, projek ini telah diperluaskan ke rumah dan sekolah untuk mendidik lebih ramai komuniti mengenai kepentingan menanam tanaman makanan kita sendiri, yang lebih selamat, murah dan berkhasiat.
Apabila projek Kebun Rumah CAP dilancarkan, ia menarik minat penduduk bandar yang semakin menyedari mengenai isu alam sekitar dan bimbang tentang memakan makanan yang sarat dengan bahan kimia, mula memilih untuk menanam tanaman sendiri.
Pada 2004, CAP mengubah kawasan tempat letak kereta di premisnya untuk menanam buah-buahan, sayur-sayuran dan herba serta melakukan penyelidikan dan membangunkan kaedah agroekologi serta menjadi tempat untuk melatih komuniti.
“Ini menghasilkan satu revolusi apabila orang ramai mula menyedari betapa mereka terlalu bergantung kepada teknologi moden sehingga menyebabkan rasa putus asa dan kecewa.
“Orang ramai, terutamanya penduduk bandar mula mengambil perhatian mengenai bagaimana cara CAP menggunakan pengetahuan tempatan dan tradisional dengan baik untuk mencipta idea-idea inovatif bagi mereka memulakan kebun bandar sendiri di halaman rumah,” kata Pegawai Penyelidik CAP, Mageswari Sangaralingam.
Beliau berkata CAP terlibat dalam berkebun secara pertanian bebas bahan kimia selama ini untuk menangani kebimbangan mengenai masalah kesihatan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk.
“Kami mahu orang ramai melepaskan diri daripada bergantung sepenuhnya kepada pertanian berasaskan bahan kimia. Hari ini, kami mempunyai kira-kira 70 jenis sayur-sayuran dan 50 jenis herba yang ditanam secara bergilir-gilir di premis pejabat kami dan bilangannya semakin meningkat,” katanya.
Walau bagaimanapun, masih terdapat masalah ruang untuk kebun bandar terutamanya di bangunan tinggi di bandar.
“Kami cuba mengajak orang ramai agar mengubah minda mereka mengenai keperluan ruang yang lebih besar untuk menanam sayur-sayuran atau herba. Kami mahu orang ramai menjadi inovatif contohnya menggunakan bekas terbuang dan kit menegak untuk menanam sayur-sayuran mereka,” tambahnya.
Mageswari berkata selain menggalakkan orang ramai menanam sayur-sayuran mereka sendiri, CAP juga turut mengajar suri rumah dan isi rumah untuk menjadikan sisa dapur mereka kepada kompos dan penggalak pertumbuhan dan tidak membuang sisa itu.
“Amalan pengkomposan sisa makanan di negara ini masih rendah,” katanya.
Subbarow berkata sejak kebelakangan ini, semakin ramai isi rumah di negara ini yang telah mula mengkompos sisa makanan mereka.
“CAP juga melatih orang ramai untuk membuat kompos dan baja buatan sendiri dari dapur mereka seperti larutan amino ikan.
“Daripada membeli ikan, kami menggalakkan mereka mengumpul sisa atau isi dalaman ikan secara percuma dari pasar dan mereka kemudiannya boleh membuat cecair itu dengan gula perang,” katanya sambil menambah bahawa larutan amino ikan itu juga merupakan penggalak pertumbuhan bebas bahan kimia.
Satu lagi usaha yang dilakukan oleh CAP sejak kebelakangan ini ialah menggalakkan petani dan orang ramai supaya menyimpan benih mereka sendiri dan berkongsi dengan rakan serta jiran mereka.
“Perkongsian benih ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan sumber tanaman kita.
“Daripada bergantung kepada perbadanan perniagaan pertanian besar yang menjualnya di pasaran, orang ramai kini boleh menguruskan sumber benih mereka sendiri dengan menyimpan benih daripada tanaman terbaik,” katanya.
Dengan cara ini, benih akan lebih mudah menyesuaikan diri dalam keadaan iklim dan tanah tertentu.
Dalam usaha untuk memulakan ketika usia mereka masih muda, CAP telah memulakan kebun tanaman makanan, sudut herba dan unit pengkomposan di sekolah supaya guru, pelajar dan pekebun sekolah boleh bekerjasama untuk menanam tanaman dan sayur-sayuran tanpa bahan kimia.
“Kanak-kanak ini dapat belajar mengenai pertanian, berkebun, mengapa cacing tanah penting, mengapa anda perlu memastikan tanah subur dan apa yang anda boleh lakukan dengan sisa dapurdan sisa kebun.
Antara sekolah yang bermula awal ialah SMK Convent Butterworth yang mempunyai kebun bandar di premisnya. Kebun itu telah dibentuk di atas plot seluas 140 meter persegi di perkarangan sekolah sejak 1 April 2016.
Penolong Kanan Kokurikulum, Phan Cheng Mun berkata ia adalah satu usaha yang sukar apabila mereka pertama kali mahu memulakan kebun bandar di sekolah itu.
“Bukan mudah untuk melibatkan pelajar berkebun kerana ada yang tidak mahu menyentuh tanah dan mengotorkan tangan. Sekolah ini tidak mempunyai padang yang luas memandangkan keluasan keseluruhan sekolah ini hanyalah satu ekar.
“Dengan nasihat daripada Pegawai CAP yang pernah melawat sekolah ini, kami mulakannya dengan tanaman menegak di sepanjang dinding dan laluan pejalan kaki bangunan sekolah menggunakan botol plastik kitar semula.
“Selepas melihat perkembangan yang semakin maju, maka apa sahaja tanah yang kami dapati di sekolah ini, kami menanamnya dengan sayur-sayuran seperti buah kundur, buah markisa, ubi kayu, sayur-sayuran berdaun dan herba. Apabila kebun kami mula mengeluarkan hasil buah-buahan dan sayur-sayuran, lebih ramai pelajar yang datang menyertai usaha kami,” katanya.
Hari ini, sekolah itu mempunyai kira-kira 20 pelajar yang merupakan ahli Skuad Hijau yang menyumbangkan masa mereka untuk menjayakan kebun bandar sekolah.
Pihak sekolah juga mempunyai projek Sisa Makanan di mana sisa makanan atau lebihan makanan dikumpul dari kantin sekolah dan dengan bantuan pelajar, sisa-sisa ini diasingkan manakala pengusaha kantin pula akan memasukkannya ke dalam bekas kompos.
“Dengan pengetahuan teknikal yang disediakan oleh CAP, kami juga bekerjasama dengan penjual di pasar basah di sini untuk mendapatkan sisa ikan seperti isi dalaman untuk membuat larutan amino ikan, yang merupakan penggalak pertumbuhan asli.
“Kami membotolkannya dan menjualnya kepada orang ramai di beberapa pasar basah sebagai salah satu cara untuk mengumpul dana untuk sekolah,” jelasnya lagi.
Phan berkata walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 yang mengakibatkan pelajar tidak dapat hadir ke sekolah, pihak sekolah meneruskan projek kebun bandarnya dengan meminta tukang kebun sekolah datang untuk melakukan kerja-kerja yang diperlukan.
“Kami telah memenangi banyak anugerah Sekolah Hijau (Green School) dan kami berbangga dengan pencapaian kami.
“Kami sedang giat meneruskan kerja-kerja penanaman di kebun kami dan bercadang untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak pertandingan dan memenangi anugerah.
“Apabila pertama kali bermula, niat kami adalah untuk menggalakkan pelajar belajar mengenai manfaat menanam dan memakan sayur-sayuran bebas bahan kimia.
“Bagaimanapun, dengan nasihat dan idea baharu yang dibawa oleh CAP, kami hari ini memenangi semua anugerah ini dan mendapat pengiktirafan. Kami amat berterima kasih kepada CAP atas semua usaha dan bimbingan mereka,” tambahnya.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Nota:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ialah salah satu daripada dua belas kisah inspirasi transformasi tempatan yang disenarai pendek untuk Anugerah Pilihan Rakyat Transformatif Bandar 2022. Transformatif Bandar ialah proses global untuk mencari dan menyokong amalan dan tindak balas transformatif yang menangani krisis global di peringkat tempatan. Anda boleh mengundi untuk inisiatif yang anda rasa patut diberi perhatian dan dipertingkatkan. Undi dibuka sehingga 6 Nov di: https://transformativecities.org/2022award/