CAP KESAL PENCEMARAN SUNGAI DI PASIR GUDANG MASIH BERLAKU

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan undang-undang dengan tegas bagi menangani masalah pencemaran sungai di Pasir Gudang yang telah lama berlarutan.

Mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon mengenai masalah ini, CAP kesal sehingga sekarang empat sungai iaitu Sungai Tukang Batu, Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Kim Kim terus tercemar pada tahap tiga dan empat. Keadaan ini amat membimbangkan CAP kerana ia boleh merebak dan mengancam alam sekitar serta kehidupan penduduk tempatan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

Kejadian pencemaran sisa toksik yang berlaku di Pasir Gudang melibatkan Sungai Kim Kim sebelum ini adalah peristiwa hitam yang tidak boleh dilupakan kerana telah memberi kesan amat buruk ke atas kehidupan hampir 6,000 penduduk termasuk para pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

CAP yang telah berulang kali mendesak pihak kerajaan bertindak tegas menangani masalah ini sejak beberapa tahun yang lalu berpendapat, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan tidak ada tindakan tegas yang diambil ke atas pihak yang menjadi punca berlakunya masalah ini menyebabkan keadaannya bertambah kritikal dan boleh mengancam nyawa serta hidupan air seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain di sungai berkenaan termasuk laut berhampiran yang menjadi tempat para nelayan mencari rezeki.

Kawasan hutan paya bakau tempat pembiakan hidupan laut juga akan terancam dan musnah jika sisa buangan toksik dari kilang industri tidak dikawal dengan berkesan melalui pemantauan rapi dan tindakan undang-undang yang tegas oleh pihak kerajaan. CAP menegaskan, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu dikuatkuasakan dengan berkesan dan pemantauan yang berterusan dan lebih kerap hendaklah dilakukan oleh PBT di semua kawasan perindustrian di negeri ini serta lokasi yang menjadi sasaran pembuangan sisa kilang secara haram seperti saliran dan sungai.

CAP meminta kerajaan negeri, JAS dan PBT mendedahkan kepada orang ramai dari masa ke semasa kedudukan dan tahap pencemaran sungai yang berlaku di kawasan Pasir Gudang supaya ia dapat meredakan kebimbangan penduduk dan masyarakat nelayan yang sentiasa terdedah kepada masalah ini.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 4 Mac 2024