Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong langkah yang diambil oleh beberapa kedai makan untuk memendekkan waktu operasi namun walau bagaimanapun ia perlu dibuat secara mandatori kerana pada masa ini masih terdapat restoran beroperasi selama 24 jam.
Pihak berkuasa perlu memansuhkan lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan memandangkan kajian menunjukkan terdapat kesan negatif makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.
Selama bertahun-tahun CAP menggesa kerajaan untuk melarang kedai makan daripada beroperasi selama 24 jam kerana akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadi lebih sihat bagi rakyat Malaysia.
Pada masa ini rakyat Malaysia berada dalam keadaan tidak sihat memandangkan kita mempunyai prevalens obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara. Dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, 50.1% daripada penduduk dewasa dilaporkan mengalami berat badan berlebihan (30.4%) atau obes (19.7%).
Berbanding individu dengan berat badan normal, obesiti meningkatkan risiko diabetes jenis 2 sebanyak tujuh kali ganda pada lelaki dan peningkatan 12 kali ganda pada wanita. Kajian tempatan mendapati bahawa 30% daripada pesakit diabetes jenis 2 adalah obes secara klinikal.
Obesiti adalah faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan kanser. Berdasarkan situasi dan jumlah rakyat Malaysia yang terjejas amat tinggi itu mendedahkan bahawa RM9.65 bilion dibelanjakan pada setiap tahun untuk menangani (NCD) di negara ini.
Walaupun memendekkan waktu operasi untuk kedai makan tidak akan menyelesaikan sepenuhnya isu obesiti di Malaysia, ia akan membantu mengurangkan makan lewat malam dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini seterusnya berpotensi untuk memupuk tabiat pemakanan yang lebih sihat dan menggalakkan tabiat tidur yang lebih baik.
Penyelidikan menunjukkan bahawa individu yang makan lewat malam melebihi 40% daripada keperluan tenaga harian mereka yang menimbulkan faktor risiko yang ketara bagi obesiti. Tabiat pemakanan yang tidak sihat, ditambah dengan pemakanan tidak seimbang yang terdiri daripada makanan yang tinggi kandungan lemak dan garam (makanan biasa raksyat Malaysia) semasa snek selepas makan malam, juga dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular.
Ketersediaan makanan dan minuman yang meluas selama 24 jam mempunyai implikasi yang ketara terhadap kesihatan mulut. Akses mudah kepada makanan ringan dan minuman manis yang dihantar pada bila-bila masa menimbulkan ancaman berterusan kepada enamel gigi yang meningkatkan risiko kaviti dan jangkitan.
Menurut Tinjauan Kesihatan Pergigian Kebangsaan, didapati 94.6% orang dewasa Malaysia memerlukan beberapa bentuk rawatan pergigian, dengan kerosakan gigi menjadi masalah utama. Malah, enam daripada 10 orang dewasa memerlukan penjagaan akibat kerosakan gigi, berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada 2022.
Di samping itu, akibat kesihatan diburukkan lagi oleh ketidakseimbangan nutrisi akibat pengambilan makanan yang diproses dan segera. Jurnal Pergigian British (BDJ) menekankan hubungan antara pemakanan yang buruk dan tindak balas imun yang lemah, menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada pelbagai jangkitan mulut dan penyakit gusi.
Walaupun langkah diambil oleh beberapa kedai makan untuk memendekkan waktu operasi mereka adalah atas sebab ekonomi, walau bagaimanapun pihak berkuasa perlu mewajibkan semua kedai makan ditutup awal demi untuk kesihatan rakyat Malaysia.
Bagi menangani obesiti, Kerajaan perlu mengambil langkah berani dalam menarik balik makanan tidak sihat dan menaikkan cukai ke atas semua jenis minuman dan makanan manis selain menyediakan insentif dan rancangan jangka panjang.
Berdasarkan situasi itu, CAP menggesa pihak berkuasa untuk memansuhkan lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan.
Kerajaan perlu lebih serius dalam mengawal persekitaran yang menggalakkan obesiti, dengan mewajibkan semua kedai makanan ditutup pada tengah malam dan bukannya dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.
Sementara itu, rakyat Malaysia perlu mengamalkan gaya hidup sihat secara sukarela dan meningkatkan kesedaran untuk mewujudkan negara yang sihat.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 22 April 2024