DUA PRODUK KOSMETIK DIDAPATI MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

Kementerian Kesihatan membatalkan notifikasi produk kosmetik Beaute Treatment Cream dan Beaute Nite Cream, yang tidak lagi boleh dijual di Malaysia kerana didapati mengandungi racun berjadual.

Beaute Treatment Cream dikenal pasti mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, manakala Beaute Nite Cream mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate.

Merkuri boleh diserap ke dalam tubuh dan menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang dan sistem saraf, serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau belum lahir, selain menyebabkan ruam, kerengsaan dan perubahan lain pada kulit.

“Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit dan hipersensitiviti. Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi), yang mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran ultraungu yang berbahaya, sekali gus meningkatkan risiko kanser kulit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan pada 15 September 2023.

Penggunaan tretinoin boleh menyebabkan kemerahan kulit, ketidakselesaan, pedih, mengelupas dan sensitif kepada cahaya matahari, manakala betamethasone 17-valerate boleh menyebabkan penipisan kulit muka, kerengsaan, jerawat, perubahan pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah, yang boleh memberi kesan berbahaya.

Orang ramai digalakkan menyemak status pemberitahuan produk kosmetik di laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau melalui aplikasi Status Produk NPRA yang boleh dimuat turun dari Google Play Store.

Sumber: Bernama