Satu laporan baharu oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), dengan kerjasama Forests and Finance Coalition (FFC), mendedahkan bahawa pengawalseliaan bagi sektor kewangan di Malaysia masih belum sejajar sepenuhnya dengan sasaran Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) dan memberikan cadangan-cadangan untuk mengukuhkan pengawalseliaan bagi sektor kewangan dengan tujuan melindungi hutan dan komuniti Malaysia.[1]
Laporan ini menilai dasar dan garis panduan utama yang diterbitkan setakat ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), termasuk yang berkaitan dengan risiko iklim, pembiayaan mampan dan rangka kerja pelaporan kemampanan. Berdasarkan skala berkod warna daripada merah (tiada rujukan kepada sasaran GBF) kepada hijau (penjajaran penuh dengan sasaran GBF), analisis mendedahkan bahawa kebanyakan dokumen kawal selia mendapat skor kuning, menunjukkan bahawa institusi kewangan hanya dijangka mengambil langkah yang berkaitan ke arah sasaran GBF, atau oren, bermakna rujukan kepada sasaran GBF ada tetapi terhad kepada cadangan sukarela.
Persimpangan antara hutan dan kewangan
Menurut penilaian terbaharu oleh Platform Antara Kerajaan mengenai Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem (Intergovernmental Platform on Biodiversity and Ecosystem Services – IPBES) mengenai Perniagaan dan Biodiversiti (diterbitkan pada 9 Februari 2026), kehilangan biodiversiti yang berterusan tidak dapat dihentikan jika amalan semasa dan pendekatan lazim perniagaan seperti biasa berterusan.
Oleh itu, melindungi hutan Malaysia adalah penting bukan sahaja untuk biodiversiti tetapi juga untuk mitigasi perubahan iklim. Hutan bertindak sebagai penyerap karbon dengan menyerap dan menyimpan sejumlah besar karbon dioksida daripada atmosfera. Apabila hutan terdegradasi atau diterbang, karbon yang tersimpan akan dibebaskan, membawa kepada peningkatan pelepasan gas rumah hijau dan memburukkan lagi pemanasan global. Dalam konteks ini, hak orang asli adalah penting, memandangkan peranan mereka sebagai penjaga hutan yang telah lama wujud. Pengetahuan dan amalan tradisional mereka membantu mengekalkan ekosistem hutan, dan pemuliharaan biodiversiti.
Data Forests & Finance mendedahkan bahawa Malaysia adalah negara yang pegangan pelaburan kedua terbesar (berjumlah AS$ 6.9 bilion atau 64%) dalam syarikat yang beroperasi dalam sektor komoditi berisiko tinggi dalam mendorong penebangan hutan tropika. Dari segi kredit, bank Malaysia menduduki tempat ke-7 di seluruh dunia, menyumbang sebanyak AS$ 16.4 bilion dalam pinjaman dan perkhidmatan pengunderaitan dalam tempoh 2016 dan Jun 2024. (Sektor komoditi tersebut termasuk minyak sawit, pembalakan, pulpa & kertas, dan ladang kayu, antara lain.)
Pelaburan ini memberikan institusi kewangan pengaruh yang penting terhadap aktiviti yang mendorong penebangan hutan dan degradasi hutan. Melalui amalan pinjaman, pelaburan dan pengurusan risiko mereka, institusi kewangan boleh memainkan peranan penting sama ada membolehkan atau mencegah kemerosotan alam sekitar dan penyalahgunaan hak asasi manusia. Justeru, peranan pengawal selia sektor kewangan adalah amat penting dalam membentuk piawaian yang mengawal selia keputusan-keputusan ini.
Laporan ini, walaupun mengiktiraf usaha pengawal selia untuk mengimbangi pendekatan berasaskan prinsip dan pendekatan berasaskan peraturan, ia mempersoalkan sejauh mana industri kewangan boleh bergantung pada pendekatan lembut berasaskan prinsip terhadap isu penebangan hutan, terutamanya memandangkan pemanasan global yang semakin mendesak, kehilangan biodiversiti dan hak komuniti.
Dasar pelaburan yang bertanggungjawab secara sukarela telah mengakibatkan piawaian kemampanan yang tidak sekata dalam kalangan institusi kewangan Malaysia, sekali gus membolehkan pelanggan tertarik kepada bank yang mempunyai keperluan ataupun piawaian mampan yang lebih lemah. Oleh itu, laporan itu menggesa pengawal selia untuk menetapkan garis masa yang jelas bagi beralih kepada peraturan mandatori bagi melindungi hutan dan hak masyarakat, sejajar dengan skala dan tahap mendesak cabaran iklim, alam sekitar dan sosial.
Secara khusus, langkah-langkah berikut adalah penting:
(1) Selain berikirar untuk mematuhi piawaian No Deforestation, No Peat, No Exploitation (NDPE) dan penghormatan terhadap prinsip PBB mengenai persetujuan bebas awal dan termaklum (FPIC) orang asli, terdapat juga keperluan bagi bank untuk mewujudkan mekanisme aduan yang boleh dipercayai dan meningkatkan ketelusan pelanggan. Selain itu, bank juga mesti menggesa pengawal selia untuk memperkenalkan peraturan mandatori seluruh industri untuk memastikan kestabilan dan padang yang sama rata (a level playing field).
(2) Pengawal selia kewangan pula mesti bertindak tegas beralih kepada peraturan yang mengikat dan mandatori, dengan garis masa yang jelas, penguatkuasaan yang ketat, penyertaan masyarakat sivil yang bermakna dalam pembangunan dasar, sertamenetapkan penalti bagi ketidakpatuhan – semua ini adalah langkah-langkah yang akan melindungi hutan dan komuniti dengan lebih baik, di samping meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan mampan.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Surat Kepada Pengarang, 2 Mac 2026
1 (Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Biodiversiti (CBD) pada 24 Jun 1994. Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (GBF) telah diterima pakai di bawah CBD pada 19 Disember 2022, dengan komitmen untuk menghentikan dan membalikkan kehilangan biodiversiti menjelang 2030 melalui 4 Matlamat dan 23 Sasaran. Malaysia kemudiannya melancarkan Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2022-2030 pada 24 Oktober 2023.)


